Dua lelaki menyamar polis ditahan, seorang lagi diburu - Utusan Malaysia

Dua lelaki menyamar polis ditahan, seorang lagi diburu

DUA lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk tahanan reman kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis yang cuba menahan kenderaan awam di KM 41.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki cuba menahan kenderaan orang awam dengan menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua lelaki berusia 43 dan 48 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada pukul 6 petang, semalam.

“Tangkapan dibuat di sebuah kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian dengan deorang daripada suspek adalah penjawat awam. Selain itu, seorang lagi suspek masih bebas dan sedang dikesan.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati penjawat awam berkenaan tiada rekod, namun suspek kedua mempunyai rekod bersabit kes dadah” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, satu ‘beacon light’ mudah alih, lampu suluh, ‘headlight’ dan sebuah kereta Honda City serta anak kunci.

“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi dengan seorang suspek direman dua hari, manakala permohonan reman ke atas suspek yang juga penjawat awam pula ditolak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan barang,” jelasnya.

Pada pukul 1.52 tengah hari semalam, polis menerima laporan tentang video tular dalam Facebook memaparkan tiga lelaki menyamar sebagai polis dalam cubaan menahan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN