Di mana kami nak berteduh? - Utusan Malaysia

Di mana kami nak berteduh?

RAHMAD DAHMAN (tengah) bersama-sama penduduk Kampung Datuk Hajah Hasnah memohon campur tangan pihak kerajaan bagi menyelesaikan isu penduduk di kampung tersebut yang diminta mengosongkan kampung tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 100 keluarga di Kampung Datuk Hajah Hasnah, di sini buntu memikirkan nasib mereka setelah menerima notis pencerobohan tanah kerajaan dan diarahkan mengosongkan kawasan tersebut.

Wakil penduduk, Rahmad Dahman, 70, berkata, mereka yang tinggal di kawasan tersebut sejak tahun 70-an bakal kehilangan tempat tinggal sekiranya arahan itu dikuatkuasakan.

Pihaknya menerima notis tersebut pada 15 Mac lalu dan mempunyai tempoh 60 hari bagi mengosongkan tanah itu selain diarahkan membuka sendiri struktur binaan, bangunan rumah dan garaj dalam tempoh tersebut.

“Kami mula berpindah ke kawasan ini yang dahulunya kawasan paya bagi mengimbangi jumlah penduduk Melayu di kawasan Johor Bahru. Setelah ia dibangunkan menjadi kawasan penempatan, kami diarahkan berpindah.

“Pada tahun 2015, ada sebahagian daripada penduduk di sini bersetuju untuk berpindah ke Pangsapuri Desa Hajah Hasnah tidak jauh dari sini, namun ada juga yang enggan berpindah. Pada ketika itu, kira-kira 100 keluarga yang mahu kekal di sini dan perbincangan telah dibuat dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian sehinggalah kami menerima notis tersebut pada Mac lalu,” katanya.

Rahmad bersama-sama jawatankuasa bertindak kampung itu berhajat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun menemui jalan buntu.

Malah, katanya, cubaan untuk berunding dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian juga tidak membuahkan hasil dan harapan terakhir mereka ialah untuk mengadap Sultan Johor bagi meluahkan rintihan dan nasib mereka.

“Kami bukan hendak melawan kerajaan, sekiranya benar tanah ini mahu diambil semula, kami akan akur cuma kami mahukan sedikit pembelaan dengan menawarkan penempatan yang selesa dan pampasan.

“Sebilangan daripada kami yang enggan berpindah ke Pangsapuri Desa Hajah Hasnah pada 2015 adalah disebabkan kawasan tersebut berdepan dengan banyak masalah dan tidak selamat diduduki.

“Antara masalah yang dihadapi ialah dari segi masalah septik sehingga sisa kumbahan melimpah, keadaan bangunan yang banyak kerosakan dan keretakan. Macam mana kami nak berpindah ke kawasan seperti ini?,” soalnya.

Setakat ini sudah beberapa rumah di kawasan kampung tersebut telah dirobohkan dan situasi itu meresahkan penduduk yang menghitung hari mengenang nasib mereka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir ketika dihubungi memberitahu, kementerian mengambil berat tentang kebajikan penduduk kampung berkenaan dan turut meneliti rintihan penduduk mengenai keadaan Pangsapuri Desa Hajah Hasnah yang didakwa tidak mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (CF) untuk diduduki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya