DAP tak kecil hati, hormati keputusan Pemuda UMNO - Nie Ching - Utusan Malaysia

DAP tak kecil hati, hormati keputusan Pemuda UMNO – Nie Ching

TEO NIE CHING (tengah) bergambar bersama-sama Komuniti Polis Kulai sempena program tonton filem Polis Evo 3 di AEON Kulaijaya, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: DAP menghormati keputusan Pemuda UMNO yang tidak menjemput parti lain dalam kerajaan perpaduan ke perhimpunan pergerakan itu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung minggu depan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, pihaknya tidak berkecil hati dengan pendirian yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh kerana setiap sayap parti mempunyai pandangan dan pendekatan berbeza yang perlu difahami semua parti dalam gabungan kerajaan perpaduan. 

“Apa juga keputusan yang dibuat UMNO mahupun sayap Pemuda, Puteri dan Wanita parti itu, kami terima dengan hati terbuka dan hormati pendirian mereka. Itu adalah hak UMNO.

“Sekiranya dijemput, kami ucapkan terima kasih, namun tidak akan berkecil hati jika tiada undangan kerana itu adalah hak mereka sebagai penganjur dan mungkin didorongi oleh faktor-faktor tertentu,” katanya selepas menyaksikan tayangan filem Polis Evo 3 bersama-sama Komuniti Polis Kulai,  di sini hari ini.

Semalam, Dr. Muhamad Akmal menegaskan keputusan tidak menjemput wakil parti ke Perhimpunan Pemuda UMNO adalah keputusan sebulat suara barisan Exco dan Ketua Pemuda UMNO negeri. 

PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 7 hingga 10 Jun ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila akan turut dihadiri pimpinan tertinggi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, seramai 19 presiden parti anggota kerajaan perpaduan akan hadir ke PAU 2023 termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, Presiden UMNO itu menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dalam kerajaan perpaduan.

“Komitmen yang diberikan akan memperkuatkan lagi semangat kerjasama semua 19 parti yang membentuk kerajaan perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya