PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima satu aduan berhubung dakwaan penjualan tanah bernilai RM29.3 juta kepada sebuah persatuan isteri kepada seorang menteri besar dengan harga rendah daripada pasaran.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, aduan dibuat kepada SPRM, Terengganu baru-baru ini.
Kata sumber itu, aduan berkenaan kemudian dipanjangkan kepada Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.
“Aduan berhubung dakwaan itu dibuat di Terengganu sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM bagi tindakan,” kata sumber.
Terdahulu, sebuah blog mendedahkan, tanah seluas 11,299 meter persegi telah dijual kepada persatuan isteri wakil rakyat dengan hanya RM500,000.
Lapor portal The Corporate Secret, keputusan penjualan membabitkan tanah strategik di negeri berkenaan dibuat oleh Menteri Besar negeri itu dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, pihak Pendaftar Tanah dan Majlis Bandaraya negeri tidak bersetuju tanah itu diserahkan kepada persatuan terbabit.
“Konflik kepentingan dalam perkara ini ialah ‘Menteri Besar dan Ahli Exco’ selaku pembuat keputusan telah meluluskan permohonan ‘isteri Menteri Besar dan isteri ahli Exco’ untuk memiliki tanah kerajaan negeri yang bernilai tinggi.
“Atas konflik kepentingan ‘kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar’ dan ‘persatuan pimpinan isteri Menteri Besar’, bayaran premium yang sepatutnya dikenakan ialah sebanyak RM5.87 juta ‘dikurangkan’ kepada RM500,000 sahaja,” dakwa portal itu. – UTUSAN










