Bubar DUN: Aminuddin menghadap Tuanku Muhriz pada 28 Jun - Utusan Malaysia

Bubar DUN: Aminuddin menghadap Tuanku Muhriz pada 28 Jun

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) ketika melawat ruang pameran pada Karnival Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 28 Jun ini bagi mendapatkan perkenan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Minggu terakhir saya akan menghadap Tuanku, hari Rabu minggu terakhir (bulan Jun) saya akan menghadap Tuanku untuk dapatkan perkenan pembubaran,” katanya kepada pemberita pada Karnival Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Selatan 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat memaklumkan DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Negeri Sembilan bersama lima buah negeri lain iaitu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak membubarkan DUN masing-masing semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memaklumkan tidak mengetahui hasil rundingan akhir pembahagian kerusi antara PH dan BN bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri yang berlangsung malam semalam.

“Saya tidak dapat hadir malam tadi dan saya belum dapat keputusan lagi,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden PKR.

Semalam media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli berkata, beliau akan mempengerusikan rundingan tersebut bagi pihak PH sementara BN akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, hasil rundingan tersebut kemudiannya akan dibawa ke peringkat Pengerusi PH dan BN untuk dimuktamadkan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya