SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneliti cadangan bagi mewujudkan modul lanjutan bagi Pegawai Bomba Bantuan Siswa (PBBS) lepasan graduan tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata, cadangan itu bagi memperkukuhkan sahsiah diri masing-masing sebelum mereka memasuki dunia pekerjaan kelak.
“Program yang berterusan (modul lanjutan) ini bagi menaikkan modul ini ke tahap yang lebih tinggi. Ia sebagai kesinambungan bagi (pegawai bomba bantuan siswa) termasuklah seperti menjalani latihan industri (praktikal) di balai bomba.
“Kami berbincang tentang kaedah atau modul yang terbaik seperti dari segi kokurikulum dan peruntukan, bagaimanapun, apa yang penting adalah kualiti. Insya-Allah kami dalam kerangka untuk mengembangkan modul lanjutan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa (PBBS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dataran Bangunan Canselori, USIM, Nilai di sini hari ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Ts. Sharifudin Md. Sharaani .
Pada majlis berkenaan, seramai 50 orang pelajar dari pelbagai fakulti ditauliahkan sebagai PBBS iaitu 27 orang pelajar daripada pengambilan kelima dan 23 orang pelajar lagi dari pengambilan keenam.
Sementara itu, kata Nor Hisham, sebanyak tiga buah universiti awam telah menubuhkan PBBS iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan USIM.
Jelas beliau, terdapat empat buah lagi universiti termasuk politeknik yang berminat untuk mewujudkan PBBS ini.
“Kami ada menerima beberapa permohonan daripada beberapa universiti awam termasuklah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta politeknik,” katanya.
Pelaksanaan Kor PBBS telah disesuaikan dengan fungsi JBPM dan institut pengajian tinggi (IPT) melibatkan pengendalian latihan selama tiga semester (120 jam), meliputi latihan teori dan praktikal serta dilaksanakan mengikut keperluan dan kesesuaian siswazah di universiti awam.
Pelajar yang telah berjaya menghabiskan semua modul serta ditauliahkan sebagai PBBS layak untuk diberikan elaun latihan.-UTUSAN.