BN tidak mahu layan kenyataan Tony Pua - Utusan Malaysia

BN tidak mahu layan kenyataan Tony Pua

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Presiden UMNO Bersama Jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) tidak akan melayan atau memberikan apa-apa reaksi terhadap sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak dalam komponen Kerajaan Perpaduan ketika ini yang dilihat bertentangan dengan pendirian sebenar mana-mana parti tersebut.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya sebarang reaksi balas diberikan ia menampakkan seolah-olah ia menjadi satu masalah yang utama sedangkan ia bukanlah pendirian yang telah ditetapkan oleh kepemimpinan parti terbabit. 

“Saya mahu berikan pandangan, mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang mempunyai pendapat yang berbeza, kami tidak akan layan, kerana itu bukan pendapat rasmi daripada kepemimpinan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya telah beritahu, jangan ada reaksi untuk balas dan sebagainya daripada pihak kami kerana yang penting , jika isu yang ditimbulkan maka kita beri reaksi ini akan menampakkan seolah-olah masalah itu masalah besar. Sebenarnya tidak, bukan masalah yang utama kerana ia tidak jadi dasar dan pegangan atau pendirian apatah lagi ketetapan mana-mana kepemimpinan parti,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Presiden UMNO Bersama Jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Semalam, bekas Ahli Parlimen Damansara yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu majlis di Petaling Jaya, Selangor dikatakan telah menggelar BN sebagai pakatan ‘korup’ ibarat seorang gelandangan politik sedang mencari peluang untuk kekal relevan.

Beliau turut menyuarakan pandangan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan sendiri tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kenyataan Tony itu mendapat respon tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan  kenyataan Tony itu adalah atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepemimpinan parti DAP.

Kata Siew Fook, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti itu pada masa kini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN kini berpendirian untuk terus bergerak ke hadapan bersama Kerajaan Perpaduan dan sentiasa menjalankan rundingan bersama PH.

“Pegangan kami perundingan dijalankan antara BN dan PH, itu pegangan kami, jadi saya berterima kasih YB Loke, juga telah keluarkan kenyataan bahawa beliau tidak sokong pandangan yang berbeza itu sebagai pandangan parti.

“Kami juga berpandangan baik kita bergerak ke hadapan dan jangan pernah baling batu di rumah kaca,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN