Bapa mengaku bersalah rogol anak kandung hingga hamil - Utusan Malaysia

Bapa mengaku bersalah rogol anak kandung hingga hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang bapa mengaku bersalah atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya berusia 15 tahun sehingga hamil sejak 2020 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh  berusia 41 tahun yang bekerja kampung membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas semua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap anaknya pada waktu malam tahun 2020 di sebuah rumah di Semerah, di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya itu sejak Oktober 2020 hingga 5 Jun lalu dengan semua kejadian berlaku di rumah yang sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut ketika ketiadaan ahli keluarganya di rumah dan kejadian itu hanya terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mendapati mangsa berlaku perubahan pada fizikalnya.

Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman meminta mahkamah menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihaknya mendapat laporan asid deoksiribonukleik (DNA), laporan perubatan dan rekod jenayah lampau serta tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh

Abu Bakar kemudian menetapkan 16 Julai ini sebagai sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN