Anggota bomba nekad berhenti kerja, jaga isteri kudung - Utusan Malaysia

Anggota bomba nekad berhenti kerja, jaga isteri kudung

MAS IMRAN ADAM (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Fadzil dan isterinya ketika melawat mereka di PPR Setia Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang suami sanggup melupakan kerjayanya sebagai anggota bomba untuk menumpukan sepenuh perhatian menjaga isteri tercinta yang kudung kaki kirinya kerana terpaksa dipotong akibat menghidapi penyakit kencing manis kronik.

Fadzil Ahmad, 51, yang telah berkhidmat selama 21 tahun di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin mengambil keputusan berhenti kerja pada 2016 apabila kesihatan isterinya, Fazlenyana Alias, 46, semakin merosot.

Isterinya yang menghidap penyakit kencing manis kronik sejak 16 tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan yang menyebabkan dua jari kaki kanan dipotong pada 2017.

“Pada 2019 pula, isteri terpaksa menjalani satu lagi pembedahan yang menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong dari bawah paras lutut. Keadaan ini menyebabkan sukar untuk bergerak dan bergantung dengan kerusi roda.

“Dia tidak mampu menggunakan tongkat untuk berjalan setelah berat badannya meningkat selepas menjalani pembedahan. Jadi, saya terpaksa membantunya untuk membersihkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Setia Indah, di sini hari ini.

Fadzil memberitahu, kesukaran untuk bergerak dan keadaan bilik air yang sempit menyebabkan isterinya terpaksa menggunakan lampin dewasa sepanjang hari.

Sebelum ini dia dan isteri mencari pendapatan dengan berniaga di sebuah kedai makan milik ibu mentuanya,  namun terpaksa berhenti berniaga sejak dua tahun lalu setelah kos barang mentah yang semakin mahal dan kini bergantung dengan kerja sambilan dan wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

Berkongsi keperitan hidup yang dilalui, Fazlenyana memberitahu, ada masanya mereka terpaksa mencatu makanan dan mengikat perut disebabkan faktor kewangan yang tidak mengizinkan.

“Ada masanya kami hanya makan bubur nasi, kalau ada rezeki, suami mencari sayur kangkung yang tumbuh meliar di tepi jalan untuk dijadikan makanan,” katanya sambil mengakui bantuan JKM itu tidak mencukupi kerana perlu membeli banyak barangan keperluan termasuk lampin pakai buang serta kos rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berharap anak sulungnya, Muhamad Amir Huzaimi, 23, yang kini menjalani latihan sebagai bomba bantuan dapat membantu keluarga keluarga keluar daripada zon kemiskinan. 

Keluarga terdekat, jiran tetangga serta majikan lama suaminya turut menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga dari semasa ke semasa, sekali gus meringankan beban yang ditanggung.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam berkata, pihaknya terpanggil untuk memberikan bantuan pelbagai barangan keperluan asas bernilai RM1,000 kepada keluarga itu.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank Fazlenyana Alias bernombor 151593118979. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya