SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pagi ini menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini.
Ia bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini yang dijangka 30 Jun ini.
Pembubaran DUN itu adalah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat tiba di Istana Hinggap di sini kira-kira pukul 9.55 pagi.
Selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz, Aminuddin dijangka mengadakan sidang akhbar di Wisma Negeri di sini kira-kira pukul 10.45 pagi ini.
Selain Negeri Sembilan, lima buah negeri lain juga akan mengadakan PRN tidak lama lagi iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
DUN Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu bubar pada hari ini manakala DUN Kelantan dan Selangor terlebih dahulu telah dibubarkan iaitu pada 22 Jun dan 23 Jun yang lalu.-UTUSAN.