KUALA LUMPUR: Semua lebuh raya menunjukkan pertambahan kenderaan mulai di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati pergerakan beberapa laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Utara-Selatan mulai perlahan.
Aliran trafik perlahan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak membabitkan laluan dari selepas Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah; Bukit Tinggi ke Bentong dan Gombak ke Lentang.
Dalam pada itu, aliran trafik perlahan dilaporkan di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Juru Auto City ke Kawasan Perusahaan Perai; Bukit Tambun ke Plaza Tol Juru; Padang Rengas ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang; Terowong Menora ke R&R Sungai Perak; Ipoh ke Jelapang; Gopeng ke Simpang Pulai dan Tapah ke Gopeng.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.-UTUSAN










