Ahmad Faizal Azumu tidak bertanding PRN - Utusan Malaysia

Ahmad Faizal Azumu tidak bertanding PRN

AHMAD FAIZAL Azumu (tengah) bersama Eddin Syazlee Shith (kanan) dan Rais Yatim menunjukkan isyarat bagus mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengesahkan tidak akan bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam buah negeri yang dijadual mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata, walaupun baru dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, jawatan itu bukan batu loncatan untuk beliau bertanding dalam PRN.

Tegasnya, tugas beliau kini hanya untuk memastikan jentera pilihan raya Bersatu dan PN dapat digerakkan dengan cekap dan berkesan.

“Saya hendak umumkan walaupun saya telah dilantik memegang jawatan Bersatu dan PN di negeri ini (Negeri Sembilan), saya boleh membuat pengakuan bahawa saya tidak akan bertanding mana-mana kerusi di keenam-enam negeri.

“Tugas saya adalah untuk menghambakan diri untuk menggerakkan jentera parti. Itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Bersatu negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Ketua Bersatu Bahagian Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith.

Untuk rekod, ia mesyuarat sulung yang dipengerusikan oleh Ahmad Faizal selepas menggantikan Eddin Syazlee sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri dan Pengerusi PN negeri awal bulan ini.

Ahmad Faizal memberitahu, pimpinan tertinggi Bersatu telah membuat keputusan supaya beliau menggantikan Eddin Syazlee dengan tujuan melicinkan gerak kerja PRN di negeri ini.

“Kami tidak mempunyai apa-apa masalah dari segi kepemimpinan di Negeri Sembilan sebelum ini.

“Namun kami melihat potensi PN untuk menawan kerajaan negeri cukup besar dan telah menetapkan agar kepimpinan pusat datang membantu jentera pilihan raya di semua kerusi DUN di negeri ini,” ujarnya.

Mengenai potensi PN dalam PRN kelak, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Kerusi mewakili Bersatu menarik perhatian, berdasarkan kajian dan analisa pelbagai pihak termasuk institusi yang tidak mempunyai kaitan dengan politik menunjukkan sokongan para pengundi terutamanya dalam kalangan orang Melayu kepada PN telah naik dengan mendadak.

“Ia terutamanya berkaitan hubungan antara UMNO dan DAP yang kini rapat sehingga mengguris hati orang Melayu lalu mereka mengambil pendekatan mengalih sokongan kepada PN,” ujarnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya