80 peratus usahawan bimbingan Kemas adalah wanita

80 peratus usahawan bimbingan Kemas adalah wanita

MOHD. NOOR HELMY Abdul Halem (tiga dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada Ikon Usahawan Kemas sempena Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku Kemas Melaka, Norosniza Mohamad di Kipmall, Bachang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terus menggerakkan usaha membantu usahawan wanita menceburi bidang perniagaan menerusi peruntukan RM18.9 juta tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi berkata, peruntukan itu akan digunakan meliputi pelaksanaan pelbagai program, kursus dan bantuan peralatan bagi melatih golongan tersebut.

Menurutnya, sepanjang tempoh 2017 hingga tahun ini, Kemas berjaya membimbing seramai 19,881 usahawan yang 80 peratus daripadanya adalah wanita.

“Kemas menyusun pelbagai program membimbing golongan ini seperti kursus kemahiran jangka pendek, memasarkan produk secara dalam talian dan kursus pengurusan perniagaan.

“Antara bimbingan lain termasuk kursus pembangunan usahawan, kursus kewangan dan kursus pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku Kemas Melaka di Kipmall Bachang di sini, semalam.

Majlis perasmian telah disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

Tambah Ahmad Kamal, program Quickwin Kemas menyediakan peruntukan sebanyak RM4,000 menerusi bantuan kursus dan peralatan dengan sebanyak lima bidang diberikan fokus utama iaitu jahitan, dandanan diri, komputer, seni tangan dan masakan.

“Kita fokus melahirkan usahawan rintis khususnya mereka yang sudah memulakan perniagaan tetapi memerlukan bantuan daripada segi peralatan dan bimbingan. Saya minta golongan usahawan wanita untuk memohon secara dalam talian bagi memudahkan Kemas menemu duga mereka sebelum diserapkan ke program Quickwin,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya