680,000 anak penyu dilepaskan di seluruh negara tahun lalu - Utusan Malaysia

680,000 anak penyu dilepaskan di seluruh negara tahun lalu

CHAN Foong Hin (dua dari kiri) bersama Adnan (kanan) melepaskan penyu agar dan karah sempena Program Sambutan Hari Laut Sedunia 2023 di Pantai Tanjung Biru, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 681,000 biji telur penyu daripada pelbagai spesies berjaya ditetaskan pihak Jabatan Perikanan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, daripada jumlah tersebut, negeri yang paling banyak menghasilkan telur penyu adalah Terengganu iaitu sebanyak 587,000 biji.

“Pada tahun lepas, kami telah melepaskan anak penyu berjumlah lebih 680,000 ekor di seluruh negara. Banyak penyu terdapat di perairan Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

“Ini adalah kawasan-kawasan yang kita rekodkan ada penyu, kawasan lain ada namun tidak sebanyak kawasan yang saya sebutkan tadi. Di Negeri Sembilan sahaja sebanyak 1,500 anak penyu agar juga telah dilepaskan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sambutan Hari Laut Sedunia 2023 di Pantai Tanjung Biru, di sini, hari ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya turut merekodkan sebanyak 37 kes kematian penyu pada tahun lepas.

Oleh itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menghentikan tabiat memakan telur penyu kerana ia hanya akan menyebabkan haiwan berkenaan diancam kepupusan.

Jelasnya, di bawah peraturan membabitkan penyu yang di buat di negeri-negeri juga, tindakan mana-mana individu mengutip telur penyu tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri juga merupakan satu kesalahan.

“Malah di negeri Terengganu (sebelum ini) hanya telur penyu belimbing sahaja tidak boleh dikutip tetapi sekarang ini enakmen ini telah dipinda dengan semua spesies telur penyu dilindungi di negeri berkenaan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil telur penyu untuk dimakan kerana penyu ini haiwan prasejarah yang amat unik, kita makan telur penyu pun tidak pasti sejauh mana kebaikan dan khasiatnya,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya