PETALING JAYA: Sebanyak 61.2 peratus daripada 600,000 individu yang menyertai program Saringan Kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu atau HSP didapati mengalami masalah kolesterol tinggi.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, daripada jumlah keseluruhan pekerja yang menyertai HSP itu turut mendapati 42 peratus mengalami masalah obesiti, kencing manis (14.1 peratus) dan darah tinggi sebanyak 27.91 peratus.
Menurut beliau, melalui statistik Perkeso pada tahun 2022 menunjukkan seramai 23,174 pencarum dilaporkan mengalami hilang upaya atau meninggal dunia disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Secara puratanya, sebanyak 63 kes NCD dilaporkan kepada Perkeso setiap hari manakala menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, tiga daripada lima penyebab utama kematian di Malaysia adalah berkaitan dengan NCD.
“Di mana penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian. Oleh itu, ingin saya tekankan di sini bahawa adalah penting bagi semua rakyat Malaysia berusaha mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk golongan pekerja,” katanya semasa berucap di majlis perasmian HSP 3.0 di UEM Edgenta Learning.
HSP 3.0 merupakan program saringan kesihatan siri ketiga sejak ia diperkenalkan pada tahun 2013.
Ia juga sudah bermula sejak 16 Mei lalu dan akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini dan sebanyak 2.2 juta pekerja layan menjalani saringan di program tersebut.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, HSP 3.0 yang dilaksanakan melalui peruntukan geran padanan berjumlah sehingga RM70 juta merupakan satu dari 10 inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2023.
“Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso memperkukuh inisiatif saringan kesihatan dengan menyediakan secara percuma kepada pencarum yang layak di seluruh negara. Program HSP 3.0 ini lebih komprehensif untuk mengesan faktor risiko NCD yang lebih banyak.
“Pengesanan awal NCD membolehkan pekerja mengambil tindakan yang sewajarnya untuk kekal sihat, berdaya saing dan produktif,” katanya.
Tambahnya, majikan perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran kepada pekerja untuk menjalani saringan kesihatan yang disediakan kerajaan secara percuma. -UTUSAN