SUBANG JAYA: Kesemua 49 negara ahli Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik perlu mempunyai undang-undang seragam dalam menangani kegiatan jenayah termasuk keganasan serantau dan penyeludupan dadah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara ini wajar dibincangkan dan mendapat perhatian Amerika Syarikat (AS) sebagai pengasas FBINAA.
“Dengan 49 negara kini menjadi ahli (FBINAA) di Asia Pasifik, terdapat keperluan untuk satu set undang-undang yang seragam untuk menghapuskan aktiviti haram seperti keganasan transnasional serantau, dadah, jenayah siber, hak sivil, jenayah kolar putih, aktiviti jenayah rentas sempadan dan pemerdagangan manusia.
“Keadaan hari ini tidak memberikan sebarang ruang untuk kita bersikap sambil lewa. Tanpa kerjasama yang sewajarnya untuk memerangi unsur negatif di sempadan kita, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti haram, terutamanya jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Presiden FBINAA Antarabangsa, Tim Braniff; Penolong Pengarah Divisyen Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda; Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.
Menurutnya, Malaysia yang tersenarai dalam Senarai Pemerhatian Tahap-2 Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara AS 2023 memberikan kesan positif terhadap sektor perdagangan dan mengatasi persepsi negatif berkaitan isu buruh paksa di negara ini.
“Bagaimanapun, saya secara peribadi percaya kita perlu melakukan lebih banyak lagi,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, pada pertemuannya dengan bekas Setiausaha AS, Rex Tillerson pada 2017, kedua-dua pihak bersetuju semua 49 negara perlu menjalin kerjasama memperkenalkan satu set undang-undang yang sama dalam memerangi ancaman jenayah rentas sempadan
“Dadah juga adalah isu utama di negara ini. Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa terdapat 108,220 kes berkaitan dadah dan 129,604 tangkapan berkaitan dadah pada 2021.
“Bagi kes yang berkaitan pembekal dadah dan jumlah tangkapan berkaitan, terdapat trend meningkat daripada 14,823 pada 2020 kepada 16,629 kes pada 2021 dan daripada 23,536 pada 2020 kepada 25,277 kes pada 2021,” katanya.
Tambahnya, Malaysia banyak memberikan tumpuan kepada aspek pencegahan dan mengeluarkan kos yang tinggi sedang peruntukan itu boleh digunakan untuk membiayai projek rakyat.
“Di Malaysia, masalah pemerdagangan manusia rentas sempadan laut yang semakin meningkat membawa perhatian yang ketara kepada masalah tadbir urus maritim dan kawalan sempadan yang berkesan.
“Ini seterusnya memberikan cabaran yang serius dan tekanan yang meningkat ke atas agensi yang ditugaskan untuk mengawal laut Malaysia.
“Kelemahan timbul daripada peningkatan perdagangan maritim dan globalisasi ekonomi memudahkan pengembangan dan intensiti jenayah transnasional membabitkan pendatang melalui perairan kerana ianya murah dan sukar dikesan,” katanya.
Menurut beliau, usaha memperkukuh keselamatan sempadan melalui pengawasan maritim yang lebih besar, operasi keselamatan dan penambahbaikan teknologi adalah penting dalam menangani cabaran keselamatan bukan tradisional ini.
“Tetapi, malangnya tidak mencukupi untuk membanteras kegiatan itu yang kini menunjukkan trend peningkatan, terutamanya ekoran krisis ekonomi global.
“Memandangkan pemerdagangan manusia adalah isu pelbagai dimensi dan berkait rapat dengan migrasi dan hak asasi manusia, menangani faktor struktur, iaitu faktor tolakan dan tarikan, adalah penting,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kunci untuk memperkukuh keselamatan Malaysia terletak pada dasar ekonomi dan pelaburan yang kukuh.
“Ini antaranya dengan memperkenalkan rangka kerja migrasi yang berkesan selain menangani permintaan buruh murah, eksploitasi migran serta rasuah awam yang menyemarakkan aktiviti pemerdagangan.
“Saya ingin melihat lebih banyak kerjasama dalam kalangan pasukan penguat kuasa kita terutamanya polis, maritim dan risikan. Ini penting untuk mengukuhkan mekanisme keselamatan di sempadan bersama,” katanya.
Selain itu, katanya, beliau mahu melihat lebih banyak kerjasama dalam kalangan pasukan penguatkuasa terutamanya polis, maritim dan risikan.
“Ini penting untuk mengukuhkan mekanisme keselamatan di sempadan bersama,” katanya.-UTUSAN