2 penjenayah maut ditembak sebelum sempat pecah masuk rumah

Dua penjenayah maut ditembak sebelum sempat pecah masuk rumah

LOKASI dua lelaki maut ditembak polis awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua lelaki tidak sempat memecah masuk sebuah rumah sekitar Lorong Jintan, Taman Supreme, Cheras di sini awal pagi tadi selepas mereka  maut ditembak polis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, satu laporan diterima polis berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki disyaki warga asing di kawasan berkenaan.

Berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang sedang membuat rondaan diarahkan membuat pemeriksaan di lokasi terbabit.

Bagaimanapun, setiba mereka di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia lingkungan 30-an ke 40-an itu cuba menyerang anggota polis menggunakan parang.

Anggota polis yang cuba mempertahankan diri terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek menyebabkan dua daripada mereka maut manakala dua lagi suspek melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menemukan beberapa peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi dan parang.

Kata beliau, pihaknya masih melakukan semakan mengenai penglibatan mereka dalam kes pecah rumah.

“Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka baru kita boleh tahu siapa mereka (suspek) dan ada kaitkan dengan kes-kes lain atau tidak.

“Kita dapat maklumat kemungkinan besar mereka ini empat orang…dua melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan awal tidak menemukan sebarang senjata api pada kedua-dua suspek terbabit.

“Usaha mengesan saki baki suspek yang dipercayai warga asing itu sedang giat dijalankan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Sekyen 307 Kanun Keseksaan” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya