1,120 pekerja asing dibawa masuk tiada pekerjaan

1,120 pekerja asing dibawa masuk tiada pekerjaan

SAIFUDDIN Nasution Ismail bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa mengenai pengurusan pekerja asing di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan sejumlah 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini sejak Januari hingga Mei lalu tidak mempunyai pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya kini sedang mengesan ejen yang membawa masuk pekerja terbabit dan mereka mungkin akan disenarai hitam.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu pekerja asing itu untuk mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu. 

“Ini tumpuan kita dahulu bagi memudah cara mereka yang sudah berada di sini dan mereka kebanyakannya warga Bangladesh.

“Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian,”  katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini hari ini.

Katanya, biarpun kerajaan sudah mempermudahkan urusan pengambilan pekerja asing ke negara ini, namun, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.

Saifuddin berkata, kerajaan kini mempermudahkan segala polisi bagi mendapatkan pekerja asing terutama bagi lima sektor ekonomi kritikal.

Menurutnya, pihaknya mengecam pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan urusan bawa masuk pekerja asing di media sosial kerana ia jelas bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Perkara itu dapat dikesan dengan cepat oleh Kementerian Sumber Manusia dan seterusnya dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

“Perkara sebegini memberi kesan kepada rating kita dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang.

“Malaysia berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 Pemerhatian menerusi laporan terbaharu itu, namun usaha sedaya mungkin perlu ditumpukan bagi meningkatkan tahap ke tier 2, jadi kita tidak mahu ini menjejaskan usaha terutama dalam membantera elemen buruh paksa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN