11 individu mengaku salah bagi akaun bank untuk masuk hutang ah long - Utusan Malaysia

11 individu mengaku salah bagi akaun bank untuk masuk hutang ah long

SEBAHAGIAN 11 individu termasuk tiga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan alasan munasabah dengan membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk kemasukan hutang 'ah long' sejak tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 11 orang individu termasuk tiga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan alasan munasabah dengan membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk kemasukan hutang ‘ah long’ sejak tahun lalu.

Majistret, Nurul Saqinah Rosni menetapkan kesemua tertuduh berusia 20 hingga 60 tahun itu masing-masing didenda RM800 hingga RM1,000 sebaik mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama tempoh lapan hingga 10 hari.

Tertuduh yang terlibat ialah Ong Le Yang, 20, Kong Kai Wei, 21, Muhammad Adam Abdul Latif, 27, Muhammad Irwan Othman, 38, Nor Arfina Arifin, 38, Jee Kah Rock, 21, Ng Woei Yuan, 37, Saiful Hamizi Abdul Hamid, 35, Nurul Aishah Hasbollah, 26, Wan Halipah Wan Ali, 60 dan Low Yey Yong, 32.

Difahamkan kesemua tertuduh bekerja sebagai eksekutif akaun, pembantu operasi, pekerja am, pembantu kebun dan bekerja sendiri.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu gagal mengemukakan alasan yang munasabah mengenai kemasukan wang oleh seorang individu berjumlah RM1,150 hingga RM187,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan antara 4 Ogos 2022 hingga 6 Februari 2023 di Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan di sini.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Tan Cheng Jie, 29, dibenarkan ikat jamin RM2,000 selepas tidak mengaku salah atas pertuduhan sama dan kes akan disebut semula 10 Julai depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya