Warga emas, cucu maut kereta terbabas

Warga emas, cucu maut kereta terbabas

KEADAAN MPV yang dinaiki mangsa remuk selepas terbabas di Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG:  Seorang warga emas dan cucunya maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 42, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Pangkal Changgong di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.10 pagi itu, Nurin Damia Mohd. Nizam, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala neneknya, Che Hasnah Jusoh, 67, menghembuskan nafas semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Machang kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan mendapati semasa kejadian kedua-dua mangsa menaiki sebuah MPV jenis Perodua Alza dipandu anak kepada Che Hasnah iaitu Muhammad Asyraf Abdul Manap, 26.

Menurutnya, kenderaan tersebut dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah Che Hasnah di Kampung Bunut Tok Mak Teh, Labok di sini.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, MPV itu dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan.

“Kejadian itu menyebabkan warga emas itu dan cucunya tersepit di dalam MPV terbabit. Nurin Damia disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kedederaan serius pada kepala manakala neneknya semasa dirawat di Hospital Machang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Adli memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, anak kepada Che Hasnah,  Mohd. Afiq Safwan Abdul Manap, 28, ketika ditemui berkata, adiknya, Muhammad Asyraf yang memandu MPV itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isterinya yang belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim di Perak.

Katanya, semasa dalam perjalanan dari Tanjung Malim, mereka singgah ke Kuala Lumpur sebelum bertolak pulang ke Kelantan malam tadi.

“Nahas berlaku kira-kira lapan kilometer dari rumah kami. Mereka sudah dekat untuk sampai ke rumah sebelum kemalangan.

“Muhammad Asyraf memaklumkan, dia tertidur semasa memandu sebelum MPV dipandunya terbabas merempuh penghadang jalan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di unit forensik Hospital Machang hari ini.

Afiq Safwan berkata, sebelum kejadian, dia ada menghubungi adiknya kira-kira pukul 1.45 pagi semasa dia sedang tidur di Hentian Rehat dan Rawat Gua Musang.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya