Tiada campur tangan istana dalam kes memfitnah Sultanah Nur

Tiada campur tangan istana dalam kes memfitnah Sultanah Nur Zahirah – Pendakwa

SULTANAH NUR ZAHIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown tetap akan dibicarakan secara adil terhadap pertuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jika kes didengar di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman menegaskan, tidak pernah wujud campur tangan daripada mana-mana pihak luar termasuk pihak istana sendiri (Terengganu) dalam kes ini sepanjang proses pendakwaan dilakukan terhadapnya.

“Pegawai mahkamah yang dilantik akan menjalankan tugas dengan adil dan saksama tidak kira sama ada ia melibatkan istana atau pemohon (Clare).

“Tidak ada satu keterangan konklusif dikemukakan pemohon (Clare) yang menunjukkan Mahkamah Majistret berkemungkinan akan bertindak tidak adil dalam pendengaran kes ini.

“Saya percaya kewibawaan hakim bicara tidak perlu dipertikai kerana ia menjurus kepada penghinaan mahkamah. Saya mohon permohonan Clare ditolak kerana sepanjang proses pendakwaan, tidak ada sebarang campur tangan daripada pihak istana dalam kes ini,” hujah pendakwaan.

Beliau selanjutnya berhujah, pihak pendakwaan selaku responden menegaskan, Clare perlu memastikan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mempunyai merit sebelum permohonan itu dibenarkan.

Selain itu, Noor Haslinda berkata, pemohon sepatutnya memfailkan permohonan untuk memindahkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, bukannya di Mahkamah Tinggi di sini.

Sementara itu dalam isu lain, Noor Haslinda turut memaklumkan pihak berkuasa Malaysia melalui notis merah Interpol masih gagal menyampaikan waran tangkap ke atas Clare meskipun pemohon didakwa secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) pada 23 September 2021.

Terdahulu semasa prosiding, peguam Guok Ngek Seong berhujah mewakili Clare bahawa permohonan anak guamnya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah kebimbangan yang munasabah selain sikap pilih kasih mahkamah di Terengganu bagi bicara kes tersebut.

“Pemohon (Clare) tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah tetapi dia mungkin bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana Mahkamah Majistret berada di negeri yang sama laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana,” kata peguam itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Hakim K. Muniandy menetapkan 21 Jun ini bagi keputusan sama ada untuk membenarkan permohonan Clare atau menolaknya.

Pada 3 April lalu, Clare gagal buat kali kedua untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1MDB.

Surat tersebut antara lain menyatakan, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan terdapat keterangan yang mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan terhadap Clare.

Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia atas pertuduhan itu.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan, Clare gagal kali pertama untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah selepas representasi bertarikh 13 Disember 2022 ditolak oleh agensi itu.

Clare didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini selepas mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

Ini kerana pengadu dalam kes jenayah terhadap dirinya adalah Sultanah Terengganu sendiri yang memfailkan saman terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 12 Ogos 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Clare untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya