Terus lawan komunis lepas rakan maut terkena jerangkap samar - Utusan Malaysia

Terus lawan komunis lepas rakan maut terkena jerangkap samar

ROSLAN Kalid menunjukkan sijil penghargaan dan pingat yang diterima pada Majlis Penganugerahan P.J.P.N Tanpa Istiadat di IPK Melaka, Bukit Beruang, Ayer Keroh semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pesara polis tidak patah semangat selepas rakan baiknya maut terpijak jerangkap samar, sebaliknya pe­rasaan geram dan marah terhadap komunis semakin menebal.

Menurut Roslan Kalid, 63, tiada istilah takut dalam dirinya walaupun mengetahui dua rakannya menjadi mangsa jerangkap samar yang ditanam di bawah pokok dan timbunan daun.

Dia yang bertugas dalam Pasukan Polis Hutan ketika itu berkata, seorang rakannya terbunuh manakala seorang lagi putus kaki akibat impak letupan tersebut.

“Kami menyertai Op Kota Echo di Kelian Intan, Gerik, Perak sekitar 80-an dan ditugaskan membuat rondaan bagi mengesan saki-baki komunis. Kota Echo adalah operasi paling bahaya yang pernah saya sertai kerana terdapat banyak jerangkap samar yang aktif.

“Kalau masuk satu kompeni pasti akan ada yang maut. Ketika sedang melakukan rutin rondaan, dua rakan saya terpijak jerangkap samar menyebabkan seorang maut.

“Apabila mendapat berita tersebut saya rasa geram dan sangat marah kepada komunis.

Semangat saya tidak luntur malah lebih bersemangat untuk meneruskan operasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pe­nganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) Tanpa Istiadat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini semalam.

Roslan antara 98 pesara polis menerima sijil penghargaan dan pingat disampaikan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Sementara itu, mengenai penglibatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Roslan berkata, dia menyertai polis pada 1979 dan bersara pada 2020.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN