MELAKA: Kerajaan negeri mahu projek sisa jadi tenaga (WTE) bernilai lebih RM700 juta di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini dipercepatkan tahun hadapan, berbanding perancangan asal pada 2026.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyeru semua agensi terlibat seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak kontraktor, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mempermudahkan segala proses berkaitan rundingan harga, terma serta syarat berkaitan.
Beliau berkata, sekiranya projek itu mengambil masa yang lama untuk dimulakan, tapak pelupusan sedia ada dikhuatiri tidak mampu untuk menerima sisa pepejal dari seluruh Melaka yang dianggarkan berjumlah 1,100 tan sehari.
“Kalau ikut jadual projek ini akan dimulakan pada 2026, tetapi untuk menunggu sepanjang tempoh itu ada masa yang perlu kita ambil kira seperti jumlah sisa pepejal yang semakin bertambah. Kita tidak mahu 2026, kalau boleh secepat mungkin pada 2024 sudah mulakan kerja.
“Projek ini merupakan yang pertama dan tapak pelupusan sampah ini adalah satu-satunya tempat pembuangan sisa pepejal di Melaka. Saya harap akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, kawasan tapak pelupusan pertama dijangka penuh pada Julai 2024 manakala tapak kedua hanya mampu bertahan untuk tempoh dua tahun lagi.
Katanya, setelah tapak berkenaan penuh, keharmonian penduduk di sekitarnya akan terjejas kerana bakal berlaku pencemaran bau dan gangguan serangga.
“Keadaan ini akan menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan yang tidak selesa. Jadi saya amat khuatir sekiranya projek ini lambat berjalan, kerajaan negeri tidak tahu hendak letak di mana lagi sampah ini.
“Saya selaku pentadbir negeri ini berharap UKAS, KPKT dan Malakoff dapat menyelesaikan soal urusan-urusan komersial. Jangan nanti rakyat Melaka menanggung beban dengan hidup tidak selesa di kawasan ini,” ujarnya. – UTUSAN