BENTONG: Sepasang suami isteri maut terjatuh dari tingkat 20 bangunan sebuah hotel di Genting Highlands di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menerima aduan mengenai kejadian itu kelmarin yang dilaporkan di Balai Polis Genting Highlands.
“Siasatan awal polis mendapati sepasang suami isteri masing-masing berusia 37 tahun dari Taiping, Perak. Mereka datang ke Genting Highlands mendaftar masuk ke sebuah bilik hotel di Genting Highlands pada 11 Mei lalu,” kata beliau.
Menurut beliau, pemeriksaan polis mendapati tiada unsur jenayah membabitkan kematian pasangan itu.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati bermula dari tarikh kedua mangsa berdaftar sehingga tarikh kejadian tiada individu lain melainkan mereka yang keluar masuk dari bilik hotel pasangan itu,” katanya.
Kata Zaiham, laporan bedah siasat hospital kematian mangsa lelaki disebabkan ‘massive hemothorex’ manakala isterinya pula akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Susulan kejadian itu, Zaiham meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya ada apa-apa maklumat berkaitan kes tersebut mereka boleh menghubungibilik gerakan Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-222 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.- UTUSAN










