Ribut musnahkan 10 buah rumah di Tendong

Ribut musnahkan 10 buah rumah di Tendong

AMINAH Abdullah mengutip bahagian siling dan bumbung rumahnya yang pecah selepas dibadai ribut di Kampung Padang Embun, Pasir Mas, Kelantan kelmarin.-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Sebanyak 10 buah rumah di Kampung Padang Embong, Tendong di sini mengalami kerosakan teruk selepas dibadai ribut semasa hujan lebat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kebanyakan bumbung dan siling rumah penduduk pecah dah terbang apabila ribut kuat tiba-tiba melanda kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Norazlini Mohamed, 41, berkata, adiknya, Kamarul Azhar Shaari, 36, yang berada di luar rumah melihat ribut puting beliung yang menghentam bahagian bumbung rumah mereka.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke tempat berniaga di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu berpatah balik ke rumah selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Saya dapati bahagian bumbung di ruang tamu dan sebuah bilik tercabut semasa tiba di rumah. Selain itu, air hujan juga memenuhi kawasan tersebut.

“Keadaan itu juga menyebabkan pelbagai jenis perabot dan barangan elektrik di dalam rumah turut mengalami kerosakan. Saya mengalami kerugian yang dianggarkan kira-kira RM10,000 apabila banyak barangan rosak dan bumbung rumah perlu dibaiki,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Aminah Abdullah, 53, berkata, dia berada di ruang dapur rumah ketika kejadian sebelum terdengar dentuman yang kuat.

Katanya, menyedari kejadian itu, dia bergegas keluar untuk menyelamatkan anak perempuannya berusia 30 tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal dan cucunya berusia empat tahun di dalam bilik.

“Saya terus menarik tangan anak dan cucu keluar dari bilik itu untuk menyelamatkan diri daripada dihempap batu bata. Anak saya mengalami luka pada kaki kerana terkena batu bata yang bertaburan di lantai rumah.

“Bahagian bumbung dan siling rumah saya pecah dalam kejadian itu. Mujur kami sekeluarga tidak dihempap batu bata semasa keluar dari bilik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima sebanyak sembilan laporan daripada mangsa berhubung kejadian tersebut kelmarin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya