Pusat panggilan judi diserbu, 11 warga asing ditahan

Pusat panggilan judi diserbu, 11 warga asing ditahan

ACP Zam Halim Jamaluddin menunjukkan barangan seperti unit telefon, CPU, monitor dan telefon bimbit yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis kediaman jenis kondominium di Salak Selatan yang disyaki beroperasi sebagai pusat panggilan bagi penipuan dalam talian pada sidang media tersebut di IPD Daerah Cheras.-UTUSAN/ Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket perjudian dalam talian membabitkan warga asing tumpas selepas 11 individu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Salak Selatan dekat sini pada 25 Mei lalu.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, kondominium berkenaan dijadikan sarang pusat panggilan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Cheras, Zam Halim Jamaluddin berkata, sindiket yang beroperasi sejak September tahun lalu ini dikatakan menyewa kondominium berkenaan dengan bayaran RM7,000 sebulan. 

Kata beliau, 10 daripada 11 individu yang ditahan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan untuk mencari ‘kaki judi’ yang berminat bagi menawarkan permainan judi melalui laman web khas.

“Pelanggan yang berminat perlu melayari laman web perjudian www.rp369menang.com sebelum membuka akaun judi menggunakan web sama.

“Pemain akan diarahkan membeli kredit bermula 25,000 rupiah bersamaan RM7 untuk membolehkan mereka bermain judi dimana-mana platform aplikasi judi dalam talian itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zam Halim berkata, semakan lanjut mendapati transaksi kemasukan kredit oleh pemain ke dalam platform ini dianggarkan sekitar RM500,000 sehingga RM700,000.

Ujar beliau, hasil serbuan itu juga, sebanyak 12 unit monitor, CPU (6 unit) dan 23 telefon bimbit pelbagai jenama telah dirampas.

“Semalam lanjut terhadap kesemua mereka yang ditahan berusia 20 sehingga 29 tahun itu telah masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Kesemua mereka kini ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 (1) Akta Judi Rumah Terbuka 1953,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Zam Halim berkata, sebanyak 253 serbuan dijalankan melibatkan kes perjudian di daerah ini sejak Januari hingga awal Mei lalu.

“Sepanjang tempoh itu sebanyak 249 kes atau 98 peratus daripada siasatan yang dilakukan telah dituduh,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.