PRN: Selangor, Kelantan terawal bubar DUN - Utusan Malaysia

PRN: Selangor, Kelantan terawal bubar DUN

Selangor dan Kelantan dijangka membubarkan DUN masing-masing paling awal. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor dan Ke­lantan dijangka menjadi ne­geri terawal membubarkan Dewan Undangan Ne­geri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ini berdasarkan kepada tem­poh penggal DUN Selangor yang berakhir pada 25 Jun manakala tempoh penggal DUN Kelantan tamat pada 26 Jun, diikuti Terengganu yang berakhir pada 30 Jun ini.

Ia bermakna, Pakatan Harapan (PH) menjadi gabungan politik pertama yang dijangka membubarkan DUN iaitu di Selangor, diikuti Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dan Terengganu.

Kira-kira tujuh juta pengundi la­yak mengundi dalam enam PRN kali ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah pengundi tertinggi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu seramai 2.928 juta, diikuti Kedah dengan 1.209 juta, Kelantan (991,571), Pulau Pi­nang (943,971), Terengganu (739,096) dan Negeri Sembilan (659,420), berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tempoh penggal DUN Ne­geri Sembilan pula akan berakhir pada 2 Julai, diikuti Kedah pada 4 Julai manakala pembubaran automatik DUN Pulau Pinang adalah pada 3 Ogos ini.

MENGADAP

Ini diperakui Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim yang memberitahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum tarikh pembubaran automatik pada 25 Jun ini, malah menyatakan semua urusan sidang DUN te­lah selesai sejak Mac lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pula mengakui sedang menunggu tarikh mengadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk mendapat perkenan pembu­baran dan mengesahkan ia akan berlaku pada bulan depan.

Ini diikuti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengakui sudah mempunyai tarikh untuk membubarkan DUN dan merancang untuk menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada minggu ketiga Jun ini.

Berbeza pula dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengenai tarikh pembubaran dan mengesahkan 1 Julai merupakan hari terakhir penggal DUN kali ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi bayangan bahawa DUN akan dibubarkan pada minggu keempat bulan Jun sementara Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan DUN akan dibubarkan sama ada minggu ketiga atau minggu keempat Jun.

HAMPIR

Dengan semua enam kerajaan negeri membubarkan DUN masing-masing pada bulan depan, PRN hampir pasti akan diadakan serentak sama ada pada bulan Julai atau awal Ogos.

Malah, pembubaran ini bakal menyaksikan kerajaan negeri Kedah pimpinan Sanusi menjadi satu-satunya kerajaan yang paling singkat mentadbir ne­geri apabila hanya memerintah selama tiga tahun iaitu pada Mei 2020 hingga Jun 2023 berbanding lima negeri lain yang berjaya melengkapkan tempoh penggal masing-masing.

Kos mengadakan PRN di enam negeri pada tahun ini dianggarkan memakan belanja RM420 juta, seperti dimaklumkan Timbalan Menteri Kewa­ngan, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang Parlimen baru-baru ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebelum ini juga berpendapat PRN di enam negeri perlu dijalankan serentak bagi memudahkan urusan SPR termasuk penyelarasan petugas dalam memastikan proses pilihan raya di enam negeri berjalan lancar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×