SEREMBAN: Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan sudah berada di peringkat akhir perbincangan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selepas ini, kesemua keputusan yang dicapai menerusi perbincangan itu akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden PH untuk dimuktamadkan.
“Pembahagian kerusi DUN sudah berada di peringkat akhir untuk diserahkan kepada Majlis Presiden PH bagi menentukan kerusi yang dibincangkan itu.
“Perbincangan (kerusi) bukan sahaja di negeri ini namun secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRN akan datang, Ahli Parlimen Port Dickson dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu memaklumkan perkara tersebut masih belum lagi diputuskan pucuk pimpinan.
“Saya tidak tahu lagi sama ada saya bertanding atau tidak. Insya-Allah kalau ada rezeki ada tetapi orang cakap, rezeki tidak salah alamat,” katanya lagi.
Selain Negeri Sembilan, turut akan mengadakan PRN pada tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.-UTUSAN.