Petani raih sehingga RM100 sehari jual cengkerik

Petani raih sehingga RM100 sehari jual cengkerik

YUN Ikrap, 57, menunjukkan cengkerik yang dijualnya untuk dijadikan umpan memancing yang mendapat sambutan memberangsangkan di Kampung Alor Redis, Arau, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang petani meraih pendapatan sampingan mencecah RM100 sehari hasil jualan cengkerik yang dijadikan umpan untuk memancing.

Pelanggan petani ini ramai dalam kalangan penduduk kampung yang memancing di sawah, parit atau sungai-sungai di kampung masing-masing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yun Ikrap,57, dari Kampung Alor Redis di sini berkata, jika sebelum ini, sambutan terhadap cengkerik kurang, kesan daripada kemarau yang menyebabkan kaki-kaki pancing lebih tertumpu menjalankan aktiviti memancing di laut.

Bagaimanapun, kata Yun sejak beberapa hari lalu, negeri ini kerap dilanda hujan menyebabkan penduduk kembali ramai memancing di sawah atau di sungai di kampung masing-masing.

“Kebelakangan ini, pendapatan sehari boleh mencecah RM70 sehingga RM100 hanya jual cengkerik. Ekoran sambutan yang memberangsangkan ini, saya menambah jumlah cengkerik yang dijual.

“Sekarang mengambil cengkerik dalam jumlah yang banyak daripada pemborong sebab orang sudah mula memancing di kawasan kampung terutama di sawah dan sungai-sungai,” katanya.

Kata Yun, kesukaran mendapatkan cacing menyebabkan kaki-kaki pancing beralih kepada cengkerik untuk dijadikan umpan.

Katanya, sambutan terhadap cengkerik ini dilihat berterusan memandangkan kaki-kaki pancing ini selalu menjalankan aktiviti memancing tanpa mengira waktu.

Ujarnya, dia menjual cengkerik tersebut antara RM2 sehingga RM5 sebungkus.

“Hasil jualan cengkerik ini mampu lah membantu saya menambah pendapatan selain daripada kerja-kerja sawah dan berkebun bagi mencari rezeki setiap hari.

“Perniagaan cengkerik ini dilihat berpontensi besar memandangkan ia mula menjadi perhatian dan tumpuan orang ramai yang menjadikan ia sebagai umpan memancing.

“Selain cacing, cengkerik menjadi antara pilihan untuk dijadikan umpan ini. Jika ada peluang saya boleh mengembangkan perniagaan cengkerik ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN