Penyingkiran sisa radioaktif Lynas tidak jejas pelaburan antarabangsa Pahang - Utusan Malaysia

Penyingkiran sisa radioaktif Lynas tidak jejas pelaburan antarabangsa Pahang

MOHD. NIZAR NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keputusan kerajaan Pusat mengarahkan penyingkiran sisa radioaktif Lynas dari Malaysia tidak akan menjejaskan pelaburan antarabangsa baharu negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Nizar Najib berkata, kerajaan Negeri akan memberi fokus untuk menarik pelaburan asing daripada pelbagai sektor dan industri tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Katanya, jumlah pelaburan asing yang diterima dan diluluskan pada 2021 adalah RM10.5 bilion manakala bagi 2022 sebanyak RM11.01 bilion.

“Saya faham kerisauan Yang Berhormat Beserah dan penduduk setempat di situ berkenaan isu membabitkan Lynas, tapi kita perlu mengimbangi kebimbangan tentang sisa radioaktif juga.

“Dan kerajaan akan galakkan pelaburan dari pelbagai industri, termasuk industri berat lain yang mempunyai potensi luas,” katanya menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PN-Beserah) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Andansura bertanya sekiranya isu sisa radioaktif Lynas itu boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk menarik pelabur antarabangsa dan hala tuju kerajaan bagi mengatasinya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sudah memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.

Lanjutan masa itu bagaimanapun disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Dalam pada itu, Mohd. Nizar memberitahu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) juga mewujudkan laman sesawang Invest Pahang dengan memperkenalkan Location Centric Approach sebagai usaha mempromosikan peluang pelaburan di Negeri Pahang.

“Bahagian Pelaburan dan Penswastaan juga sedang meneliti beberapa cadangan insentif pelaburan yang belum dimuktamadkan. Diharapkan melalui insentif baharu yang bakal ditawarkan ini dapat meningkatkan nilai pelaburan negeri Pahang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.