Pensyarah tetap bersemangat tunai haji tanpa isteri

Pensyarah tetap bersemangat tunai haji tanpa isteri

WAN Zuhari Wan Ismail menunjukkan surat tawaran mengerjakan haji yang diterima olehnya di Politeknik Jeli, Kelantan-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pensyarah Politeknik Jeli, Wan Zuhari Wan Ismail, 46, tekad untuk menunaikan haji walaupun tanpa kehadiran isterinya.

Dia menerima surat tawaran mengerjakan ibadah haji pada 18 April lalu.

Wan Zuhari akan mengerjakan ibadah tersebut secara berseorangan apabila nama isterinya tidak tersenarai untuk panggilan rukun Islam kelima itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Zuhari berkata, walaupun tanpa kehadiran isteri ia tidak mematahkan semangatnya untuk ke Tanah Suci.

“Saya positif mungkin ada hikmah yang Allah hendak beri kepada kami sekeluarga. Sejujurnya, saya masih lagi terkejut dan tidak menyangka harapan ‘tipis’ untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu menjadi kenyataan selepas ramai yang mengatakan jemaah yang ‘terkandas’ akibat pandemik Covid-19 akan diberikan keutamaan.

“Sebaik sahaja menerima pemakluman daripada khidmat pesanan ringkas (sms) dan e-mel, saya hanya mampu mengucap syukur di atas nikmat kurniaan Allah.

“Saya mula mendaftar haji bersama isteri pada tahun 2008, Alhamdulillah, panggilan yang diterima ini mengikut jadual sebagaimana telah ditetapkan. Bagaimanapun, isteri saya tidak menerima panggilan haji tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Wan Zuhari memberitahu, dia kini sudah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk mengerjakan ibadah berkenaan di tanah suci nanti.

Katanya, persiapan mental itu merangkumi hafalan doa-doa dan rukun berkait dengan ibadah haji serta memperbanyakkan amalan-amalan sunat sebelum berangkat ke Mekah.

“Fizikal pula saya bersenam, mengayuh basikal dan berlari supaya kekal cergas sekaligus memudahkan urusan mengerjakan haji nanti.

“Alhamdulillah semua urusan melibatkan visa dan pasport sudah selesai. Apa yang penting saya perlu fokus dan menjaga kesihatan,” ujarnya.

Wan Zuhari berkata, pada masa sama dia turut merujuk sanak-saudara dan rakan-rakan yang telah mengerjakan ibadah haji untuk mendapatkan tips dan pandangan berhubung Rukun Islam kelima tersebut.

“ Pengalaman menunaikan ibadah umrah tahun 2007 turut memberi kemudahan untuk saya melengkapkan lagi persediaan ke tahan suci.

“Insya-Allah saya turut bersedia menjadi sukarelawan di tanah suci bg membantu meringankan urusan perjalanan jemaah haji menggunakan pengalaman sebagai sukarelawan di Politeknik,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN