Penjual daging dirujuk ke Hospital Bahagia

Penjual daging dirujuk ke Hospital Bahagia

SHARIL Mohd. Sarif dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan membuat ciapan jelik. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penjual daging yang didakwa atas dua pertuduhan membuat ciapan jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melalui Twitter, hari ini dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah itu terhadap Sharil Mohd. Sarif, 40, selepas tertuduh mendakwa mempunyai masalah mental meskipun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

“Saya mengaku bersalah, tapi saya ada masalah mental,” katanya selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian menetapkan 16 Jun ini bagi sebutan kes dan perkembangan pemeriksaan psikiatri tertuduh.

Terdahulu, Sharil yang tidak diwakili peguam mendakwa pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pegawai penyiasat mengenai status mental tertuduh.

“Pegawai penyiasat hanya dimaklumkan secara lisan oleh tertuduh mengenai keadaan mentalnya yang tidak stabil,” ujar beliau.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sharil menggunakan profil Twitter ‘SharilSarif39’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing pukul 5.28 dan 5.30 pagi pada 12 Mac lalu yang kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pukul 8.22 malam pada 13 Mac lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 6 Julai 2020, Sharil pernah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN