GOMBAK: Peningkatan peruntukan yang disampaikan ke setiap negeri termasuk RM6.36 bilion diberikan kepada Selangor adalah bukti kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan yang berlaku dalam negara sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini mampu memberikan lebih banyak bantuan kepada golongan sasar kerana berjaya mengurangkan gejala rasuah.
Beliau yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Selangor menjelaskan kerajaan hari ini tidak lagi ‘memberi muka’ kepada projek-projek rundingan terus sekali gus menjimatkan perbelanjaan negara.
“Dalam Kerajaan Perpaduan, kita tidak benarkan pemimpin untuk mengambil, membelanjakan duit rakyat.
“Kita tidak sewenang-wenangnya memberi projek berbilion ringgit dengan rundingan terus untuk projek tebatan banjir, kita tidak guna projek bagi bumiputera untuk keuntungan sendiri dan kita tidak menyakau duit minyak masak.
“Kita dapat memberikan bantuan paling tinggi dalam sejarah negara kerana kita tidak membenarkan lagi pemimpin untuk mengambil duit rakyat,” katanya ketika berucap di Taman Sri Gombak di sini malam tadi.
Dalam ucapan itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan Selangor diperuntukkan sebanyak RM6.36 bilion pada tahun 2023 berbanding RM 5.94 bilion pada tahun 2022.
Katanya, program pembasmian kemiskinan di Selangor melibatkan seramai 428,466 penerima menerusi Sumbangan Tunai Rahmah dengan bayaran sekitar RM1.2 bilion.
Sementara itu, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat diberikan kepada 46,900 penerima dalam kalangan miskin dan orang kurang upaya dengan peruntukan melebihi RM236 juta.
“Selain projek yang dibiayai untuk peruntukan pembangunan, kerajaan juga mengumumkan projek untuk mengukuhkan kedudukan negeri Selangor sebagai penggerak ekonomi utama negara dengan meningkatkan kesalinghubungan iaitu pembesaran Lapangan Terbang Subang dan pembangunan Pelabuhan Pulau Carey di Klang.
“Kerajaan juga memperuntukkan RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bagi kerja seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang telah uzur.
“Peruntukan RM150 juta untuk menyelenggara sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar,” ujarnya.-UTUSAN