PETALING JAYA: Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menyeru kerajaan untuk memilih 25 peratus atau suku daripada jumlah banduan berkaitan kes dadah yang sudah menjalani separuh daripada hukuman untuk diberi pengampunan.
Setiausaha Agungnya, Raja Azizan Suhaimi berkata, kerajaan boleh memilih banduan yang layak untuk diajukan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Sultan negeri.
Menurut beliau, pemilihan tersebut perlu bersertakan syarat iaitu mendapat sokongan dan rekomen daripada pihak Jabatan Penjara bagi memastikan banduan terpilih serta dipercayai berjaya melalui proses pemulihan program di penjara.
“MASAC percaya idea ini sekiranya dilaksanakan ketika ini akan berjaya mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara, mengurangkan kos selenggara banduan dadah yang diyakini dan dipercayai oleh Jabatan Penjara Malaysia sudah berubah dan boleh dikembalikan kepada masyarakat untuk balik semula menyumbang bakti membangunkan negara dan menjaga keluarga mereka kerana telah bebas permasalahan dadah.
“Trend semasa yang melihat pengampunan Diraja sebagai peluang kedua kehidupan ini merupakan perkara baik yang seharusnya ditebar luas juga kepada banduan dadah yang berada di penjara dan telah diyakini berjaya menjalani program pemulihan Jabatan Penjara Malaysia dengan jayanya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, semua 47 penjara dan pusat koreksional di seluruh negara menampung lebih 72,000 banduan walaupun berkapasiti 62,000 orang, sekali gus menyebabkan kesesakan teruk di kemudahan berkenaan.
Malah, melalui laporan lain, dianggarkan lebih 50 peratus daripada 72,495 banduan yang sedang menjalani hukuman adalah atas kesalahan dadah kecil sekali gus menyumbang kesesakan dan peningkatan kos kerajaan untuk mengurus penghuni 46 penjara di seluruh negara.
Sementara itu, Raja Azizan berkata, MASAC berharap bekas pesalah dadah yang sudah bebas daripada aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang tersebut selama lima tahun ke atas diberi pengampunan di seluruh negara supaya rekod mereka dipadamkan daripada sistem.
“Ini sebagai peluang kedua menjalani kehidupan normal dan memudahkan mereka mendapatkan peluang pekerjaan yang suai manfaat dengan minat serta kelayakan bekas pengguna atau penjual dadah di negara ini,” katanya. – UTUSAN