Pembantu kedai didakwa beri rasuah RM500 - Utusan Malaysia

Pembantu kedai didakwa beri rasuah RM500

MASUM ABD. HALIM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM500 kepada anggota penguat kuasa MBIP, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM500 kepada seorang anggota penguat kuasa di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT), tahun lalu. 

Tertuduh, Masum Abdul Halim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.  Berdasarkan kertas pertuduhan, pembantu kedai runcit itu memberi suapan wang tunai sebanyak RM500 kepada pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana meletakkan halangan di kaki lima sebuah premis di Taman Tan Sri Yaacob, di sini, pada pukul 5.30 petang, 3 Julai  2022. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi memberitahu mahkamah kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicaranya.

Walau bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mohamad Azulsani Othman memohon mahkamah membenarkan ikat jamin memandangkan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

“Tertuduh berkahwin dengan wanita warga tempatan dan sudah 12 tahun menetap di Malaysia,” katanya.

Ahmad Kamal Arifin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Johor sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 14 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya