KOTA BHARU : Pas yakin pengundi luar akan pulang ke negeri masing-masing seperti biasa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, secara dasarnya tiada mana-mana pihak boleh memaksa pengundi luar untuk balik atau tidak termasuk kerajaan negeri kerana ia bergantung kepada keputusan individu itu sendiri.
“Dari segi teori memang mana-mana pihak boleh memberi pelbagai pendapat serta andaian tetapi kita perlu tahu semangat pengundi-pengundi luar untuk mempertahankan Kelantan sangat tinggi.
“Jadi kita percaya pengundi luar akan balik seperti biasa kerana mereka mempunyai komitmen tinggi terhadap tanggungjawab mereka kepada negeri dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu Tok Guru, di sini hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan, keghairahan pengundi luar untuk pulang mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka berkurangan berbanding ketika pilihan raya umum, sekali gus menyukarkan Perikatan Nasional (PN) untuk meraih sokongan yang diperlukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, selain itu, kepulangan sempena Hari Raya Aidiladha pada hujung Jun juga boleh mempengaruhi pengundi untuk pulang sekali lagi ke kampung bagi membuang undi dalam PRN.
“Pengundi atas pagar lazimnya tidak cenderung untuk pulang kecuali dia itu pengundi tegar. Pengundi luar ini ramai sebenarnya, mungkin meliputi hampir 40 hingga 45 peratus.
“Masalah orang atas pagar ini adalah kerana perlukan duit minyak untuk pulang mengundi. Semasa raya haji sudah balik dan tiba-tiba kena balik pula, kena tempuh kesesakan lagi, cuti pun tidak tentu lagi, jadi semua ini akan jadi faktor penentu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, pihaknya percaya PN akan memperoleh kemenangan multak pada PRN di enam buah negeri ini.
Katanya, keyakinan itu berpandukan kepada keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu menyaksikan PN mendapat undian ‘luar biasa’ daripada anak muda dan masyarakat.
“Perkembangan isu semasa termasuk isu kalimah Allah dan konsert Coldplay yang mengundang kemarahan serta pelbagai reaksi rakyat di negara ini meluaskan lagi peluang PN untuk memenang,” ujarnya.-UTUSAN











