Pas gesa hentikan pendakwaan politik

Pas gesa hentikan pendakwaan politik

MOHD. ZUHDI MARZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas yang menyifatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah ‘mangsa’ kepada pendakwaan politik menggesa mana-mana tindakan yang berobjektif membunuh karakter seseorang itu segera dihentikan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, tindakan sedemikian menyebabkan pemimpin tertentu diadili oleh warga maya terlebih dahulu sebelum mahkamah memutuskan sesuatu keputusan.

“Seandainya Najib tidak didapati bersalah kes SRC (kes penyelewe­ngan dana SRC International Sdn. Bhd.) sebelum ini, saya yakin akan ada tanggapan bahawa mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan seumpamanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kes-kes seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Yayasan Akal Budi dan Dana Jana Wibawa, Pandora Paper adalah antara merupakan siri pertuduhan politik yang dilakukan.

“Boleh jadi kes-kes itu boleh disabitkan kemudiannya oleh mahkamah, tetapi tidak menafikan bahawa motif awalnya adalah pertuduhan politik,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Zuhdi berkata, usaha untuk mendukung integriti mahupun membasmi rasuah tidak akan dapat diluluskan melalui pertuduhan politik tetapi sebaliknya perlu mengambil langkah seperti menambah baik perundangan dan sebagainya.

“Ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme perisytiharan harta anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan dan sistem perundangan dari cengkaman eksekutif serta mewujudkan institusi hisbah dan lain-lain.

“Pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam berpolitik dan politik wang. Parti- parti yang berkuasa akan berusaha mendakwa lawan politik mereka dengan mengerahkan agensi-agensi berkaitan di bawah kerajaan yang mereka terajui seperti yang dilakukan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekarang.

Tambahnya, sudah sampai masa untuk semua parti politik terutama yang sedang berkuasa untuk berhenti membuat pertuduhan politik yang bermotif untuk menumbangkan pihak lawan dengan membina persepsi tidak benar dan membunuh karakter seseorang.

“Bukalah lembaran baru politik dengan berpolitik secara matang dan sejahtera. Pada ketika yang sama, melalui Konsensus Nasional nanti, carilah jalan yang terbaik untuk memulakan agenda pencegahan menyeluruh bagi memastikan politik Malaysia berintegriti serta bebas dari rasuah dan salahgunakuasa,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN