Muhammad Haidir sentiasa ambil berat keperluan adik beradik - Utusan Malaysia

Muhammad Haidir sentiasa ambil berat keperluan adik beradik

SITI Rahmah Muslim Sidi mendukung anaknya yang baharu berusia tiga bulan, Nur Kayla Mikayla ketika ditemui di Bandar Sunggala, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Selepas kehilangan ibu bapa mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 dua tahun tahun lalu, hubungan lima beradik di Bandar Sunggala di sini semakin erat dan rapat.

Abang sulung adik beradik tersebut, Allahyarham Muhammad Haidir Rodzi, 25, juga sentiasa mengambil berat dalam setiap keperluan empat orang adiknya yang lain.

Perkara tersebut diberitahu oleh isteri Allahyarham, Siti Rahmah Muslim Sidi, 26, ketika ditemui di sini hari ini. 

Suaminya itu maut dalam kemalangan ketika mahu ke tempat kerja dalam kejadian di Jimah Power Plant Bukit Pelandok, di sini pagi tadi.

“Adik beradik arwah sangat rapat dengannya sering merujuk setiap perkara dengan arwah. Walaupun tinggal berasingan, arwah suami sentiasa mengambil berat apa yang berlaku melibatkan adik-beradiknya. 

“Kini cuma tinggal seorang sahaja adiknya yang masih bersekolah dan saya akan tetap teruskan hasrat arwah suami untuk sama-sama menjaga adik-adiknya itu,” katanya.

Muhammad Haidir meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku di jalan dalam Jimah Power Plant, Bukit Pelandok di sini kira-kira pukul 8.20 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori kren pengangkat (skylift) dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori dan motosikal bergerak dari arah Lukut menghala ke Jimah Power Plant, Bukit Pelandok. Sebaik sampai di jalan dalam Jimah Power Plant Bukit Pelandok, semasa lori membelok ke kanan simpang menuju ke tempat pembinaan, datang motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah belakang.

“Motosikal itu telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dalaman serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TANGKAP layar laporan kisah lima orang adik beradik di Bandar Sunggala, Port Dickson yang kematian ibu bapa mereka akibat Covid-19 pada 2021 yang mendapat perhatian banyak pihak.

Pada tahun 2021, kisah Muhammad Haidir dan empat orang adiknya mendapat perhatian selepas mereka kehila­ngan ibu dan bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Bapa kepada lima beradik itu, Allahyarham Rodzi Tahar yang ketika itu berusia 55 tahun meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi di Hospital Tampin pada 31 Mei 2021 manakala ibu mereka pula, Nazita Idris, yang ketika itu berusia 45 tahun menghembuskan nafas ter­akhir ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) pada pukul 2.30 petang, 6 Jun 2021.

Sementara itu, Siti Rahmah memberitahu, sebelum ke tempat kerja pagi tadi, Allahyarham suaminya itu sempat bermain dengan anak mereka yang baru berusia tiga bulan, Nur Kayla Mikayla.

“Saya dapat panggilan dari rakan arwah yang maklumkan suami saya meninggal dunia dalam kemalangan. Pada pagi ini anak kami, Nur Kayla Mikayla yang biasanya masih tidur semasa suami mahu ke tempat kerja namun kali ini terjaga, suami sempat bermain dengan bayi kami dan dia nampak gembira.

“Lebih kurang lima minit juga mereka berdua bermain bersama. Biasanya kalau sebelum pergi kerja, anak kami masih tidur dan suami hanya memegang anak sahaja. Kali ini suami dukung dan kelihatan gembira sekali bermain dengan Mikayla,” katanya yang memberitahu jenazah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Sunggala di sini selepas solat Asar.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.