PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN), namun belum menentukan jumlah kerusi yang ditandingi.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Komunikasi Muda, Leben Siddarth berkata, keputusan itu bagi menyahut seruan demokrasi sekali gus menyusul langkah pertama diambil parti itu semasa PRN di Johor tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, masih belum ada keputusan berkenaan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana pihaknya masih perlu berunding dengan Pakatan Harapan (PH) yang dijangka diadakan bulan depan.
Leben juga enggan mendedahkan kerusi-kerusi sasaran yang mahu ditandingi parti sebelum berbincang dengan gabungan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami akan bertanding pilihan raya nanti. Memang pasti akan bertanding. Tetapi, tunggu dahulu di mana kami mahu bertanding dan berapa kerusinya. Ini akan diputuskan selepas berbincang dengan PH,” katanya ketika dihubungi semalam.
PRN melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Minggu lalu, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz dilaporkan berkata, sama ada Muda bertanding atau tidak pada PRN akan datang hanya akan diumum apabila keputusan muktamad sudah diperoleh bersama kepemimpinan parti di peringkat negeri-negeri.
Muda sejak beberapa bulan ini didapati banyak mengunci mulut mengenai pilihan raya negeri, bahkan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui di Parlimen kerap mengelak daripada berkongsi perkembangan itu.
Usaha mendapatkan maklum balas daripada Setiausaha Agungnya, Amir Abd. Hadi dan Ketua Penerangannya, Luqman Long turut gagal apabila kedua-dua mereka tidak membalas panggilan dan mesej daripada pemberita.
Hubungan Muda dengan PH sebelum ini pernah keruh selepas parti itu menuntut jawapan jelas berhubung permohonannya menyertai gabungan itu yang masih belum dimuktamad hingga kini.
Bagaimanapun, semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, Syed Saddiq memberitahu penyertaan partinya dalam acara itu menjadi ‘petanda baik’ bahawa Muda mungkin diterima dalam PH.
Mengulas perkara sama, Leben berkata, tiada sebarang perkembangan mengenai permohonan Muda sebagai parti komponen di dalam PH.
“Belum ada apa-apa perkembangan lagi,” katanya.
Pada PRN Johor lalu, Muda menang selesa di satu daripada enam kerusi di DUN Puteri Wangsa menyaksikan Amira Aisya menang dengan majoriti 7,114 undi. – UTUSAN











