Muda belum muktamadkan strategi, jumlah kerusi hadapi PRN - Utusan Malaysia

Muda belum muktamadkan strategi, jumlah kerusi hadapi PRN

AMIRA Aisya Abd. Aziz (kiri) selepas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Muda Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum mempunyai apa-apa keputusan muktamad mengenai strategi termasuk jumlah kerusi yang mahu ditandingi parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri pada tahun ini.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz bagaimanapun berkata, perbincangan untuk menyertai PRN memang ada dilakukan dalam kalangan kepemimpinan tertinggi parti itu bersama kepemimpinan di peringkat negeri yang terlibat.

“Kami masih lagi dalam perbincangan tentang PRN akan datang, sudah tentu bagi parti baharu seperti Muda, mana-mana pilihan raya adalah amat penting buat kami untuk mengetengahkan prinsip dan polisi yang kami perjuangkan.

“Ia sedang dibincangkan untuk masuk PRN, berbezanya PRN dan pilihan raya umum, PRN lebih kepada memberikan negeri-negeri untuk putuskan kerana mereka juga yang perlu bertanding. Sebab itu saya sekarang bersama dengan beberapa orang kepemimpinan tertinggi mahu berbincang dengan kepemimpinan Muda di negeri-negeri mengenai hala tuju ke PRN.

“Apa yang saya boleh sebut sekarang, Muda sebagai parti memang bersedia untuk ke PRN, tetapi bagaimana strateginya dan jumlah kerusi masih belum ada apa-apa keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Muda Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Johor itu lagi, sama ada Muda akan bertanding atau tidak pada PRN akan datang hanya akan diumumkan apabila keputusan muktamad sudah diperoleh.

AMIRA Aisya Abd. Aziz ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Muda Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Sementara itu, Amira Aisya memaklumkan, sehingga kini masih belum ada sebarang jawapan diterima mengenai permohonan parti itu untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Ramai yang maklum, situasi Muda dalam PH masib lagi belum ada jawapan yang muktamad. Sebelum ini kami ada menghantar surat untuk masuh dalam PH tetapi masih belum ada jawapan.

“Apa-apa pun di peringkat Muda, kami masih terbuka dengan apa-apa bentuk perbincangan tetapi bagi saya, berbanding perbincangan bersama mana-mana pihak, paling penting adalah untuk memperkukuhkan parti menuju ke pilihan raya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, permohonan Muda untuk menyertai PH hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat PH yang akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya