PETALING JAYA: Ketirisan diesel subsidi kepada nelayan bukan hanya merugikan negara yang berterusan menyuntik subsidi bahan api tersebut, malah menjejaskan hasil tangkapan ikan di seluruh negara.
Isu ini serius apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan sebanyak 38 kes ketirisan subsidi diesel kepada nelayan dikesan dalam tempoh beberapa bulan tahun ini sahaja dengan membabitkan kerugian RM435,567.
Timbalan Menteri KPKM, Chan Foong Hin sewaktu perbahasan Dewan Rakyat 24 Mei lalu memaklumkan pada tahun 2022, sebanyak 70 kes ketirisan dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM745,850.
Meskipun jumlah berkenaan tidak begitu besar berbanding RM1.84 bilion kos subsidi ditanggung kerajaan kepada nelayan sejak dilaksanakan, namun beberapa sumber agensi dihubungi Utusan Malaysia mendakwa angka kerugian itu lebih besar daripada yang dikesan kementerian.
Satu sumber agensi yang tidak mahu mendedahkan identiti berkata, jika secara purata negara rugi RM500,000 setiap tahun akibat penyelewengan diesel, maka sudah 17 tahun sejak pengenalan subsidi pada 2006 bermakna jumlah terkumpul ketirisan boleh dianggarkan mencecah RM8.5 juta.
BAHAN API
Kata sumber, pihaknya mengesan lima modus operandi (MO) penyelewengan bahan api itu dilakukan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber itu memberitahu, di seluruh negara terdapat 48 kompleks pendaratan ikan milik LKIM dan 351 jeti pendaratan ikan milik kerajaan di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) yang semua memiliki Pusat Jualan Diesel (PJD) sendiri.
“Daripada jumlah PJD terdapat kira-kira 170 jeti pendaratan PNK bekerjasama dengan pihak swasta bagi membangunkan PJD yang langsung tidak dipantau jualan bahan api bersubsidi,” kata beliau.
Susulan itu, sumber berkata, wujud kelemahan PJD terutama yang bekerjasama dengan swasta menyebabkan berlaku penyelewengan.
“Kami mengesan ada lima kelemahan iaitu prosedur operasi standard (SOP) Pusat Jualan Diesel (PJD), tiada pegawai agensi atau kementerian yang memantau agihan diesel bersubsidi di jeti ikan yang menempatkan PJD dan kegiatan rasuah serta gangsterisme membabitkan jualan diesel bersubsidi daripada PJD kepada sindiket,” kata sumber.
Malah, sumber turut mendedahkan ketirisan turut melibatkan komplot tauke bot kategori C menjual diesel kepada bot C2 dan nelayan asing, serta penyelewengan di PJD oleh lori-lori tangki diesel.
MEMANTAU
“Tiada seorang pun pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memantau pengagihan diesel, mereka cuma mengumpulkan data berapa banyak ikan didaratkan oleh nelayan.
“Itu bab pegawai LKIM, kemudian di PJD juga, yang menjaga pam diesel itu adalah orang Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), beranikah penjaga pam itu untuk katakan ‘tidak’ kepada pihak yang mahu membeli minyak diesel bersubsidi di PJD dia? Sudah tentulah tidak, sebab dia bukan penguat kuasa yang ada autoriti sebaliknya cuma bekerja sebagai penjaga pam diesel,” kata sumber.
Dedah sumber lagi, terdapat banyak kes melibatkan kelonggaran SOP bagi menuntut diesel yang berlaku di kebanyakan PJD apabila penuntut menyalahguna kuota diesel diperuntukkan kepada nelayan.
“Di PJD, LKIM telah mengarahkan kepada PJD melalui Persatuan Nelayan Kawasan, bahawa setiap bot cuma lima orang saja boleh menuntut subsidi diesel. Nama-nama yang didaftarkan yang tersenarai itu, ada yang terlibat menyelewengkan diesel.
“PJD cuma fotostat kad pengenalan mereka, jadi salinan kad pengenalan ada di situ (PJD) tapi yang ambil minyak diesel bersubsidi adalah orang lain. Katalah nama kad pengenalan itu si polan A, kemudian datang si B kata saya ambil minyak menggunakan kuota si A,” kata sumber.
HARAM
Malah, difahamkan berikutan perniagaan diesel subsidi secara ‘haram’ ini sangat menguntungkan, ia juga dibolot oleh kumpulan gangster yang menakut-nakutkan penjaga pam diesel di PJD yang didakwa berlaku di Rompin, Pahang.
“Ini memang berlaku, cuma PNK tak akan beritahu LKIM sebab mereka takut kepada tauke-tauke yang membeli minyak diesel bersubsidi. Tauke-tauke itu ada gangster mereka.
“Contohnya di beberapa jeti nelayan dan PJD di Rompin memang terkenal dengan tauke sindiket yang beli diesel bersubsidi, tapi penjaga pam takut sebab mereka ini gangster. Dia (penjaga pam) itu takut nak laporkan, takut kalau ada orang himpit dia guna kenderaan pacuan empat roda atau tonto kepung dia. Salah satu kawasan yang berlaku benda ini di Rompin, Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, sumber berkata, ketirisan juga didorong sikap pemilik dan pengusaha bot zon C yang sudah kaya-raya tetapi mahu terus mencari untung atas angin dengan menjual kuota bahan api mereka kepada bot zon C2 atau warga asing.
“Tauke-tauke bot C ini ambil minyak diesel subsidi, masukkan dalam tong. Kemudian minyak itu dijual kepada bot C2, mereka bukan pergi ke laut tetapi berniaga diesel subsidi.
“Kemudian, LKIM kata minyak ini berdasarkan kepada pengisytiharaan, jadi mereka (tauke bot C) isytihar saja sedangkan kita (LKIM) bukan pergi tengok pun. Mereka telefon saja, “oh ini ada bot C, kita bawa balik ikan hari ini 10 tan”.
“Sedangkan agensi tak pergi tengok pun cuma sekadar melalui panggilan telefon. Sebab bot itu mana boleh mendarat di situ sebab di situ mana ada jeti besar, mereka sepatutnya pergi ke kompleks pendaratan ikan LKIM,” katanya.
Sumber turut mendedahkan ada kes sindiket penyelewengan dilakukan pemandu lori tangki diesel.
“Lori tangki pergi ke PJD untuk sedut diesel. Lazimnya kalau PJD itu tidak habiskan kuota diesel, mereka ada pergi tempat lain (stesen pam) untuk penuhkan tangki pam yang dibuat oleh swasta, biasanya untuk dijual kepada lori tonto dan lori lain. Jadi, kalau kuota tak habis, contohnya lori tangki itu kuotanya 25,000 liter dan tak habis, dia pergi pam 10,000 liter pun sudah penuh PJD itu. Jadi lori ini akan bawa diesel itu ke tempat lain milik swasta,” katanya. – UTUSAN










