PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai tertinggi dalam sejarah pada tahun lalu iaitu sebanyak RM175 bilion sekali gus menjadi pertanda kadar pematuhan cukai dalam kalangan rakyat bertambah baik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur berkata, nilai cukai individu merekodkan sebanyak RM39.26 bilion dengan golongan T20 menyumbang nilai terbesar RM33.68 bilion atau 85 peratus daripada kategori berkenaan.
Menurut beliau, jika mengambil kira jumlah cukai keseluruhan, T20 menyumbang 19 peratus daripada kutipan RM175 bilion.
Menurut beliau, jumlah sumbangan cukai golongan M40 pula sebanyak RM5.38 bilion iaitu 13 peratus daripada kutipan kategori individu atau tiga peratus daripada keseluruhan kutipan cukai.

“Belanjawan 2023 mengambil pendekatan lebih progresif dengan memperkenalkan langkah cukai baharu bagi meluaskan asas cukai melibatkan beberapa pindaan polisi dan asas cukai baharu diperkenalkan melibatkan golongan M40 dan T20.
“Ia meliputi langkah menurunkan kadar cukai ke atas golongan M40 dan kenaikan kadar cukai ke atas golongan T20 yang akan melibatkan kurang daripada 150,000 pembayar cukai yang dikenakan cukai lebih tinggi.
SUMBANGAN
“Justeru, bagi tahun ini, dijangka jumlah sumbangan cukai golongan T20 akan meningkat sedikit berbanding tahun lalu,” katanya di sini semalam.
Ranjeet berkata, Belanjawan 2023 turut memberikan penurunan dua peratus kadar cukai M40 dan dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan.
Justeru, kata beliau, bagi tahun ini, jumlah sumbangan cukai daripada golongan ini dijangka berlaku penurunan.
Pada masa sama, beliau memberitahu, amaun sumbangan cukai yang dikutip daripada syarikat-syarikat pula merekodkan jumlah RM97.94 bilion bersamaan 55 peratus daripada kutipan keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memberikan pengecualian cukai membabitkan pelbagai insentif kepada pembayar cukai yang memenuhi syarat yang melibatkan jumlah RM5 bilion pada tahun lalu.
Katanya, pengecualian cukai ini biasanya diberikan kepada perniagaan untuk mendorong kegiatan ekonomi tertentu atau baharu di negara ini, antaranya sektor pengilangan atau perdagangan boleh memohon mendapatkan Status Perintis (PS) yang memberi pengecualian cukai pada kadar tertentu daripada pendapatan dilaraskan untuk tempoh lima tahun.
SYARAT-SYARAT
“Namun syarikat berkenaan perlulah memenuhi syarat-syarat dan kriteria yang ditetapkan untuk melayakkan pengecualian ini di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.” katanya.
Ranjeet berkata, peningkatan tahap pematuhan pembayar cukai berkadar langsung ini adalah dengan inisiatif Awareness, Education dan Services (AES) yang diperkenalkan dengan memfokuskan kepada memberi kesedaran melalui pendidikan dan perkhidmatan yang baik kepada pembayar cukai.
Katanya, antara strategi untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan sekali gus memudahkan urusan pembayar cukai untuk menjalankan tanggungjawab mereka adalah dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang boleh dicapai secara dalam talian.
Ini seperti perkhidmatan MyTax (https://mytax.hasil.gov.my/), pusat gerbang maklumat pembayar cukai yang mana pembayar cukai boleh mengakses maklumat seperti transaksi lejar, status bayaran balik, Potongan Cukai Bulanan (PCB), Jadual Ansuran CP500 dan status Surat Penyelesaian Cukai (SPC) selain menawarkan perkhidmatan seperti e-Filing, ByrHasil, e-Daftar dan lain-lain.
“Selain itu, segala maklumat yang diperlukan turut terdapat di portal rasmi HASiL, termasuklah senarai lengkap pelbagai pelepasan cukai yang boleh dijadikan rujukan untuk pembayar cukai merancang perbelanjaan tahunan bagi tujuan pengenaan cukai pendapatan,” katanya.
Dalam usaha untuk terus meningkatkan kesedaran dan pemahaman pembayar cukai, LHDN turut menerbitkan buku Sepintas e-Buku HASiL (HASiL e-Book at a glance) yang komprehensif untuk rujukan dan panduan pembayar cukai baharu dan sedia ada.- UTUSAN










