Lelaki dituduh bunuh wanita warga emas - Utusan Malaysia

Lelaki dituduh bunuh wanita warga emas

SUHAIMI Shamsudin (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini bagi didakwa atas dua pertuduhan termasuk membunuh seorang wanita warga emas pada 9 Mei lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki berhadapan tuduhan membunuh seorang wanita warga emas selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson di sini hari ini.

Tertuduh yang juga seorang penganggur, Suhaimi Shamsudin, 45, mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.

Berdasarkan pertuduhan, iaitu pada 9 Mei lalu di antara pukul 7.43 pagi sehingga 1.30 petang di Batu 8, Jalan Pantai, Telok Kemang, tertuduh didapati telah membunuh seorang wanita, Siti Aminah Mohd. Amin yang berusia 67 tahun.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh memohon tarikh sebutan semula ke berkenaan bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Majistret kemudiannya menetapkan 28 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula.

Suhaimi dalam pada itu turut dituduh menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit milik mangsa pada tarikh dan lokasi yang sama.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan tersebut, dia mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan jika gagal bayar akan dikenakan hukuman penjara selama tujuh bulan.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun disyaki menyebabkan kematian seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai Teluk Kemang pada 9 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki tersebut ditahan di sebuah rumah di Kuala Klawang, Jelebu pada 16 Mei, kira-kira 12.05 tengah malam.

Menurutnya, susulan itu kertas siasatan mati mengejut berkaitan wanita terbabit telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Jelas beliau lagi, motif pembunuhan adalah disebabkan cinta tidak berbalas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya