JEMPOL: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan denda sebanyak RM2,000 selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini atas tuduhan tertembak rakannya semasa memburu di Jelebu, bulan lalu.
Tertuduh, Amran Abd. Radzak, 52, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Majistret turut memerintahkan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut. Di mahkamah yang sama, tertuduh yang hanya bekerja kampung turut berhadapan dengan dua pertuduhan lain iaitu memiliki senapang patah buatan sendiri dan juga memiliki dadah.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan memiliki senapang patah buatan sendiri tertuduh tidak mengaku salah namun mengaku salah bagi pertuduhan memiliki dadah.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 24 April lalu, kira-kira pukul 3 pagi di dalam kawasan hutan Muka Sauk, Kuala Klawang, di Jelebu, tertuduh dengan niat telah menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas dengan melakukan satu perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada homisid salah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam hujahan, Ahmad Loqman Hakim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang tegas sebagai pengajaran kepada masyarakat di luar untuk tidak melakukan kecuaian seperti itu sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
“Ini juga sebagai pengajaran agar masyarakat di luar sana tidak sewenang-wenangnya menggunakan senjata dan lebih berjaga-jaga,” katanya.
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman diringankan berikutan dia mempunyai seorang tanggungan yang masih belajar serta hanya bekerja kampung dengan upah RM800 sebulan.
Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, pada 26 April lalu kira-kira pukul 6.30 petang di dalam kawasan semak di tepi jalan muka sauk, Kuala Klawang, di Jelebu telah ada dalam milikan tertuduh selaras senapang patah buatan sendiri, 13 butir peluru hidup dan tiga butir kelongsong peluru jenis 12 bore pelbagai warna.
Bagi kesalahan ini, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh pada 25 April lalu, kira-kira pukul 5 pagi, di pekarangan Balai Polis Titi di Jelebu telah ada dalam milikan tertuduh satu peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 0.75 gram.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda dan penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret kemudian menetapkan 1 Jun ini bagi sebutan semula pertuduhan kedua dan ketiga untuk lantikan peguam serta laporan kimia.
Media pada minggu lalu melaporkan suspek yang menggunakan senapang buatan sendiri ketika memburu dipercayai tertembak rakannya sendiri yang disangkanya seekor kijang. Dia kemudian menyerah diri pada pukul 10.30 malam hari sama di Balai Polis Titi, Jelebu.-UTUSAN.