TEMERLOH: Kualiti dedak yang rendah didakwa menjadi antara punca ikan patin lambat membesar sehingga mengambil masa tujuh ke lapan bulan berbanding kebiasaan enam bulan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha ikan sangkar Sungai Pahang di sini, Syafiq Haiqal Usaizan, 26, berkata, kemungkinan terdapat kandungan protein dikurangkan walaupun pada guni setiap 20 kilogram makanan itu, ia dinyatakan masih sama.
“Ini kerana sebelum ini pun kami beli makanan yang sama dan ikan besar dalam tempoh enam bulan serta sudah sesuai dipasarkan.
“Agak pelik juga bila ikan sangkar kini memakan masa lebih lama dari kebiasaannya untuk membesar. Minta pihak berwajib kaji perkara ini,” katanya yang sudah tujuh tahun menceburi bidang penternakan ikan sangkar terbabit di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa lebih 11 juta ikan patin dianggarkan mati di Temerloh sejak 2020 sehingga kini sekali gus menyebabkan bekalan sumber protein itu semakin kritikal ketika ini.
Difahamkan, daripada 3,000 ekor benih ikan dilepaskan dalam sebuah sangkar, peratusan hidup hanya kira-kira 200 hingga 300 ekor sahaja.
Dianggarkan di daerah ini terdapat kira-kira 1,500 sangkar ikan membabitkan 150 pengusaha.
Mengulas lanjut, Syafiq Haiqal berkata, penggunaan makanan ikan turut meningkat daripada 60 kepada 70 hingga 80 beg untuk satu pusingan pengeluaran yang memakan masa tujuh ke lapan bulan itu.
“Sudahlah harga makanan ikan semakin mahal dan meningkat secara mendadak ketika krisis bekalan kacang soya sebelum ini, ikan pula memakan masa lebih lama untuk membesar,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan perkara itu, produktiviti ikan sangkar berkurangan kerana kebiasaannya golongan penternak mengeluarkan ikan dua kali setahun, tapi sejak 2020 hanya setahun sekali sahaja. -UTUSAN