KPKT salur RM23 juta kepada 16 PBT Johor - Utusan Malaysia

KPKT salur RM23 juta kepada 16 PBT Johor

NGA KOR MING (tengah) mendengar taklimat tentang kerja menaik taraf Anjung Selera Laman Tasik Pandan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM23 juta kepada16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu untuk membaik pulih dan menaik taraf pelbagai fasiliti disediakan PBT tersebut kepada penduduk setempat.

Menurutnya, peruntukan tersebut merupakan tambahan terhadap RM21.7 juta yang diluluskan bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur awam PBT di negeri ini, tahun lalu.

“Peruntukan RM23 juta yang diluluskan termasuk RM1.3 juta kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menyelenggara dua lot perniagaan awam, iaitu Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Biru adalah untuk menaik taraf pelbagai infrastruktur.

“Ini termasuk unit gerai, tandas, bumbung, sistem perparitan, pemasangan perangkap minyak, sistem solar, perpaipan, pendawaian baharu, turapan jalan dan tempat letak kenderaan.

“Selain itu, KPKT turut memperuntukkan RM8.5 juta bagi kerja-kerja menyelenggara 28 kolam takungan air di seluruh Johor untuk mengelakkan banjir kilat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Penyelenggaraan kolam takungan air itu melibatkan 10 buah kolam di Muar, Kota Tinggi (6), Mersing (4), Batu Pahat dan Kulai (2) manakala masing-masing sebuah di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pengerang.

Kor Ming turut memberitahu, peruntukan sebanyak RM13.3 juta kepada 16 PBT akan digunakan bagi melaksanakan 35 projek naik taraf melibatkan pelbagai kemudahan awam.

“Peruntukan yang diberi adalah berlandas pelaksanaan atau ‘performance based budget’ bertujuan bagi mengelak berlakunya ketirisan dana awam.

“Agihan peruntukan juga dibuat mengikut keperluan sesebuah PBT  dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya