Kerajaan belum bincang kenaikan caruman KWSP majikan - Utusan Malaysia

Kerajaan belum bincang kenaikan caruman KWSP majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kerajaan belum membincangkan cadangan menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 20 peratus majikan kepada  pekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini belum ada perubahan dalam caruman majikan yang masih kekal 13 peratus.

“Tak bincang pun lagi, tak bincang… belum bincang,” katanya ringkas ditemui media selepas merasmikan Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini hari ini.

Pada sambutan Hari Pekerja, 1 Mei lalu, Perdana Menteri memaklumkan sudah menerima cadangan menaikkan caruman majikan dalam KWSP namun perkara itu belum dibawa kepada Jemaah Menteri.

Terdahulu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dalam senarai 11 cadangannya meminta kerajaan mempertimbangkan perkara tersebut termasuk kajian semula umur bersara wajib.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal dilaporkan berkata, cadangan itu berikutan lebih 15 juta pekerja berhadapan pelbagai cabaran, ujian dan dugaan yang tidak dapat dibayangkan sama sekali, demi memastikan kelangsungan hidup mereka.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak majikan dengan alasan tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana ia hanya akan membebankan majikan, sekali gus menjejaskan pekerja.

Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata,  sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan, caruman perlu dibuat secara bersama antara majikan dan pekerja.

“Kadar caruman yang dicadangkan iaitu meningkatkan caruman kepada 20 peratus untuk pekerja-pekerja bergaji di bawah RM4,000 sebulan adalah terlalu tinggi.

“Ia akan membuatkan banyak syarikat-syarikat gulung tikar. Isu yang lebih besar adalah bagaimana kita harus menangani peningkatan kos sara hidup yang tinggi,” kata Shamsuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya