BACHOK: Musim kemarau yang melanda negeri ketika ini menyebabkan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) kerugian lebih RM2.7 juta apabila hasil padi diusahakan oleh 1,123 petani dengan keluasan sawah 7,800 hektar mengalami penyusutan hampir 30 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besarnya, Mohd. Faizul Mustafa berkata, daripada jumlah tersebut Pasir Puteh merekodkan kerugian paling tinggi iaitu lebih RM2.2 juta membabitkan 822 petani.
Menurutnya, Pasir Puteh merekodkan kerugian tertinggi disebabkan lokasinya yang paling jauh dari rumah pam Kada di Kemubu.
“Ia diikuti Bachok melibatkan kerugian RM480,600 dan membabitkan 85 petani. Penanaman padi kali ini adalah musim kedua untuk tahun 2023 yang berakhir pada 30 April lalu.
Musim kemarau yang sedang kita hadapi ketika ini menyebabkan hasil padi berkurangan antara 20 peratus hingga 30 peratus.
“Ini menyaksikan pengurangan paling tinggi dalam tempoh sembilan tahun disebabkan cuaca panas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Faizul memberitahu, setiap musim menuai purata hasil yang diperoleh sebanyak 120,000 tan.
Katanya, walaupun berdepan masalah musim kemarau, Kada sendiri sudah melakukan pelbagai usaha membantu petani.
“Antara usaha kita ialahmembina hampir 100 telaga tiub sepanjang tahun ini, selain mengagihkan 500 unit pam mudah alih,” ujarnya. -UTUSAN