Kelantan cadang anjur festival makanan tradisional di Thailand

Kelantan cadang anjur festival makanan tradisional di Thailand

MD. Anizam Abdul Rahman (dua dari kanan) mencuba salah produk minuman di salah sebuah gerai di Festival Makanan Thailand: Jom Makan Thai Food di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Kerajaan Kelantan bercadang menganjurkan festival makanan tradisional Malaysia di Wilayah Selatan Thailand sebagai program pertukaran usahawan melibatkan industri makanan dan seni budaya.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, perancangan penganjuran festival itu telah dibuat bersama Pusat Penerangan Pelancongan negeri (TIC) Kelantan

“Mungkin kita boleh anjurkan festival berkenaan sama ada di Hatyai, Songkhla atau Yala dengan membawa 50 hingga 100 usahawan untuk promosikan produk-produk halal dan seni kebudayaan kita di Thailand.

“Kita sudah ada perancangan dan berkemungkinan akan dilaksanakan selepas Julai nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Festival Makanan Thailand; Jom Makan Thai Food di sebuah pasaraya di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Konsul Diraja Thailand di Kelantan, Marissa Indramangala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemahang itu memberitahu, hubungan baik antara Malaysia dan Thailand amat penting memperluaskan pasaran produk halal yang boleh memanfaatkan usahawan dari kedua-dua negara.

Katanya, penganjuran itu menjadi medan perkongsian informasi yang boleh membawa manfaat besar bagi usahawan dari kedua-dua negara.

“Banyak yang boleh usahawan kita pelajari di festival ini termasuk aspek pembungkusan produk yang kemas dan menarik. Begitu juga dengan strategi digunakan oleh usahawan dari Thailand untuk memasarkan produk mereka.

“Selain itu ia juga dapat membentuk hubungan baik antara kedua-dua negara. Aspek ini sangat penting kerana produk halal mempunyai pasaran yang sangat besar di Thailand. Ia akan membawa manfaat besar kepada usahawan kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran itu, Md. Anizam berkata, ini merupakan pertama kali festival makanan Thailand diadakan di dalam pasaraya dengan skala lebih kecil berbanding penganjurannya di Stadium Sultan Muhammad IV sebelum ini.

“Festival kali ini adalah bersempena cuti Hari Wesak dan hanya melibatkan 32 gerai degan 56 produk. Pihak penganjur menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung di sepanjang empat hari penganjuran.

“Kali ini kita adakan festival ini di kawasan tertutup dan kondusif berikutan keadaan semasa di negara ini yang berdepan musim kemarau dengan suhu panas luar biasa. Jadi eloklah kita buat di tempat yang terlindung daripada pamas matahari,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya