SEREMBAN: Paras air di tujuh buah empangan di seluruh Negeri Sembilan berada dalam keadaan baik meskipun berlakunya cuaca panas ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesemua empangan tersebut kini berada dalam kapasiti air melebihi 90 peratus dan ia juga didorong dengan keadaan hujan yang turut melanda negeri ini pada waktu petang.
“Sedia maklum keadaan di Negeri Sembilan sejak bulan Ramadan yang lepas memang menerima jumlah hujan yang mencukupi, hujan setiap hari dan agak lebat.
“Tahap paras air di semua empangan juga dalam keadaan baik, bekalan air juga mencukupi dan diharapkan ia akan berterusan dan tiada sebarang masalah.
“Cuma di daerah Jempol sahaja saya dimaklumkan suhu agak tinggi jadi saya memohon semua penduduk di daerah itu supaya menjaga kesihatan dan berada dalam kawasan teduh dan jangan selalu terdedah di kawasan terbuka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Wisma MBS di sini hari ini.
Setakat hari ini, daripada tujuh buah empangan di negeri ini, empat buah berada dalam keadaan kapasiti air 100 peratus iaitu Empangan Talang, Empangan Pedas, Empangan Gemencheh dan Empangan Ulu Seperi.
Dua buah empangan lagi berkapasiti melebihi 95 peratus manakala sebuah melebihi 94 peratus.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi kawasan Padang Terap di Kedah dan Jempol di Negeri Sembilan.
Dua kawasan berkenaan mencatatkan gelombang haba tahap kuning setakat petang 4.20 petang semalam. Tahap kuning itu merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.-UTUSAN.